malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin gesa turunkan 'suhu' sentimen kaum, agama, raja
ADS

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa semua pihak mengurangkan "suhu yang meningkat" susulan apa yang disifatkannya sebagai sentimen sekitar isu kaum dan agama, dan institusi diraja.

Beliau berkata maklumat yang dikumpul oleh pihak polis menunjukkan peningkatan insiden berkaitan tiga perkara itu telah meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu.

"Saya nak berkata terus-terang...Data yang dikumpulkan polis yang telah ditaklimatkan keada saya dan perdana menteri menunjukkan ada kecenderungan tidak baik (untuk membangkitkan isu) berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R iaitu race, religion, royalty).

"Dalam situasi sekarang kita nak rakyat faham (yang) kita nak suhu yang meningkat berdasarkan sentimen kaum dan agama diturunkan. Sebanyak mana kita boleh turun, lebih baik untuk negara.

"Tapi kalau ada pihak yang rasa tak puas hati, tapi dia tak ambil kira suhu yang meningkat ini, bermakna akan berlaku sesuatu yang tidak baik," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan ucap tama di sebuah forum di akademi Kenegaraan di Kuala Lumpur.

Beliau diminta mengulas penganjuran himpunan bagi membantah pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular di Brickfields.

Beliau juga memberi amaran tindakan akan diambil menggunakan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan sentimen kaum dan agama serta menyentuh soal institusi diraja.

Selepas himpunan tersebut yang berlangsung semalam, penganjur telah membatalkan satu lagi himpunan - kali ini untuk membantah penceramah Dr Zakir Naik - yang dijadual berlangsung di tempat sama hari ini.

Penganjur Shankar Ganesh berkata keputusan itu setelah acara itu tidak mendapat permit polis, selain permintaan daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada semua pihak agar berhenti membangkitkan isu sensitif dan segera menghentikan sebarang bentuk tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan, seperti mengadakan himpunan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sebagaimana diperuntukan undang-undang terhadap penganjur dan peserta perhimpunan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucap tamanya antara lain menyentuh soal risiko membangkitkan isu sekitar 3R itu yang menurutnya boleh menghancurkan asas pembinaan negara.

Forum tersebut anjuran Institut Harimau Malaysia sempena Hari Kebangsaan yang bakal tiba. Ia berkenaan perjalanan negara menuju status negara maju.

'Gojek masih dalam perincian'

Ditanya berkenaan kerisauan sesetengah pihak bahawa rancangan membenarkan syarikat teksi motosikal Indonesia, Gojek beroperasi di Malaysia tidak adil kepada pemain tempatan, Muhyiddin berkata perincian perkara itu masih dalam pertimbangan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Di peringkat ini saya tak boleh komen tentang (kerisauan) itu, saya serahkan kepada menteri yang diberi tanggungjawab untuk mengkaji perinciannya.

"Walaupun sudah dipersetujui secara dasar, perincian (pelaksanaan) belum ditetapkan," katanya lagi.

Antara pihak yang membangkitkan kerisauan itu ialah platform e-hailing milik penuh tempatan MyCar dan syarikat teksi motosikal pertama negara Dego Ride.

Lihat Komen