Pengiklanan

    Isu Zakir Naik: Pendirian k'jaan tak jejas sokongan bukan Melayu

    (Dikemaskini )

    Keputusan kerajaan untuk membenarkan pendakwah Dr Zakir Naik terus bermastautin di negara ini dilihat tidak akan menjejaskan sokongan bukan Melayu terhadap PH.

    Penganalisis politik berpendapat masyarakat itu akan menilai prestasi pentadbiran PH berdasarkan kestabilan ekonomi.

    “Saya tengok Pilihan Raya Umum (PRU) lambat lagi manakala orang bukan Melayu pula nilai PH dari segi kestabilan ekonomi, ada peluang pekerjaan, tak rasa kesempitan hidup dan juga harga barang boleh turun.

    “Rakyat akan hargai sumbangan PH sebab sekarang saya nampak PAS – Umno terus mainkan isu kaum dan ia tak akan ke mana, manakala orang bukan Melayu nak tengok sumbangan PH.

    “Manakala golongan itu (bukan Melayu) tidak ada pilihan untuk memilih pembangkang kerana PAS dan Umno pula memperjuangkan isu Melayu dan Islam ,” kata Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia ketika dihubungi Malaysiakini.

    Lepas Anwar telefon, penganjur batal himpunan 

    Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk Zakir Naik terus tinggal dinegara ini dan tidak akan diusir walaupun kerajaan berdepan desakan ramai pihak.

    Dr Mahathir berkata Malaysia tetap kekal dengan pendirian sebelum ini walaupun desakan mahukan Zakir dihantar pulang ke India cukup kuat.

    Zakir berdepan masalah dengan pihak berkuasa Malaysia selepas dilapor mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu tempatan dan kedudukan masyarakat Cina ketika berucap pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan baru-baru ini.

    Kenyataan Zakir menimbulkan rasa kurang senang golongan itu. Susulan itu, polis menerima 115 laporan dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

    Malam tadi, penganjur Shankar Ganesh telah membatalkan himpunan Say No Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races' yang dijadual berlangsung 2 petang ini.

    Isu bermusim

    Shankar Ganesh berkata pembatalan perhimpunan aman esok selepas mendapat panggilan telefon daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berjanji akan menemui pihak penganjur bantahan dan menyelesaikan masalah kaum India.

    Terdahulu, polis telah memberikan amaran keras supaya himpunan tersebut dibatalkan.

    Bagaimanapun, menurut Azizuddin isu Zakir hanya ‘bermusim’ namun jika tidak ditangani dengan segera dibimbangi akan menjejaskan sokongan bukan Melayu terhadap PH.

    "Bagi saya ini isu bermusim, cuma bergantung juga kalau isu ni berterusan dalam jangka masa panjang, ia akan jejaskan sokongan juga,” katanya.

    Merdeka Center dipetik media tempatan berkata kira-kira 95 peratus pengundi Cina dan 70 hingga 75 peratus pengundi India memilih PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    Dalam pada itu, penganalisis Politik yang juga Pengerusi IDE Mohammad Redzuan Othman berkata langkah yang diambil oleh Dr Mahathir tidak mempunyai kepentingan politik kepada Bersatu sebaliknya bagi menghentikan isu ini daripada terus berpanjangan.

    “Sekarang ini tak ada (kepentingan politik untuk Bersatu) sebab tak ada PRU, nak ukur tak boleh, pendirian ini lebih kepada perkiraan semasa untuk dia (Zakir Naik) kekal.

    “Saya rasa kalau Dr Mahathir hantar dia pulang akan menimbulkan bantahan dan beri imej tidak baik kepada Malaysia sebagai negara Islam.

    “Kalau dihantar pulang juga menyebabkan orang Melayu bergolak. Oleh itu, buat macam manapun akan ada yang tak setuju, oleh itu Dr Mahathir dengan sikap supaya dia (Zakir) kekal,” katanya.

    Menurutnya lagi, selepas ini Zakir seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak terperangkap dalam politik yang dimainkan sesetengah pihak.

    “Sepatutnya Zakir tidak campur urusan politik dan masalahnya dia tidak faham politik Malaysia, itu kelemahan dia. Orang politik putar belit dan dia terperangkap,” katanya.

    Sementara itu, bagi penganalisis politik dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Mohammad Agus Yusoff berkata keputusan kerajaan tidak akan merugikan negara malah menyelesaikan banyak perkara.

    “Ini adalah agenda kemanusiaan tiada kaitan dengan politik. Dengan keputusan ini Zakir selamat, hubungan sesama Islam selamat dan yang menggunakan isu ini untuk kepentingan politik hanyalah Umno dan PAS sahaja.

    “Kalau Dr Mahathir nak buat (guna isu ini) pun apa untungnya, tak ada kaitan politik apa-apa,” katanya. 

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih