malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Berita kemasukan Gojek, sebuah syarikat e-hailing yang berpangkalan di Indonesia telah mencetuskan perbualan dan perbincangan tentang hala tuju dan potensi yang mampu ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Ada beberapa isu pokok yang harus mendapat penjelasan yang ringkas dengan fakta- fakta berkaitan. Rakyat berhak untuk diberi pendedahan sepenuhnya tentang inisiatif kerajaan supaya polisi dapat dilaksana dengan berkesan.

Peluang pekerjaan

Penyertaan Gojek di dalam pasaran e-hailing Malaysia sudah pasti diharapkan akan meningkatkan peluang pekerjaan kepada dua pemegang taruh terbesar (penunggang & pengusaha perniagaan) atau juga dikenali dengan terma driver-partners dan merchant- partners.

  • Indonesia
    i. Seramai 2 juta penunggang telah mendaftar di bawah Gojek.
    ii. 400,000 perniagaan berdaftar telah mengembangkan perniagaan mereka dengan mengambil 2 juta pekerja baru.
  • Vietnam
    i. 84,000 dan 42,000 penunggang menerima manfaat dalam tempoh 6 bulan di bandar Ho Chi Minh dan Hanoi.
    ii. 60,000 perniagaan beroperasi dengan menerima khidmat Gojek.
  • Thailand (Bangkok)
    i. 20,000 perkhidmatan penunggang di bandar Bangkok sahaja.
    ii. Dalam tempoh kurang 6 bulan, 30,000 perniagaan sudah berdaftar.

Ini bermakna, aliran ekonomi yang rancak berlaku bukan sahaja kepada penunggang Gojek, tetapi perniagaan yang berdaftar juga akan mendapat lebih banyak pelanggan atas talian, permintaan produk berkualiti bertambah dan perniagaan ini akan mengambil lebih banyak pekerja untuk menampung keperluan perniagaan. Ini semua adalah aliran ekonomi yang besar dan rancak.

Persaingan kompetitif

Buat masa ini, Malaysia masih tidak mempunyai persaingan e-hailing yang sihat. Kerajaan berhasrat untuk menambah dan meningkatkan daya saing yang tinggi antara syarikat e-hailing supaya syarikat ini berlumba untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan harga paling berpatutan kepada rakyat atau pengguna.

Kajian model Gojek di tiga buah negara (Singapura, Vietnam dan Thailand) mendapati harga perkhidmatan e-hailing dapat dirasionalkan dalam tempoh 1 hingga 6 minggu kemasukan Gojek.

Kerajaan juga tidak pernah berhasrat untuk mewujudkan monopoli perniagaan dan ini termasuk Gojek sendiri. Mana-mana syarikat yang kompetitif boleh bertapak di Malaysia.

Akhirnya, pengguna yang mendapat manfaat terbaik.

Kelebihan perkhidmatan motosikal

Gojek mengambil pakai perkhidmatan motosikal sebagai medium penghantaran utama syarikat. Perkhidmatan dua roda (“2 Wheels Service”) ini mempunyai kelebihan yang unik dan bermanfaat kepada pengguna.

  • Capaian perkhidmatan yang lebih luas
    Gojek menyediakan “last mile connectivity” yang mampu menghubungkan perngguna dari destinasi A ke destinasi B dengan lebih luas dan tepat berbanding kenderaan 4 roda atau perkhidmatan transit aliran ringan (LRT).
  • Perkhidmatan pengangkutan yang selamat.
    Laporan yang dikeluarkan berkenaan tahap pemanduan penunggang Gojek mendapati kadar kemalangan mereka sangat rendah iaitu serendah 0.00018% pada separuh tahun pertama 2019!
  • Dapat mengatasi kesesakan lalu lintas.
    Penggunaan Gojek dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan juga jumlah kenderaan di jalan raya dengan mengalihkan mod pengangkutan kepada pengangkutan awam seperti Gojek.

Pendirian tegas kerjaan

Pendirian Kerajaan Malaysia cukup jelas; tidak ada kompromi dan acuh tidak acuh kepada mana-mana syarikat e-hailing yang gagal mematuhi garis panduan dan undang- undang jalan raya, termasuklah Gojek sendiri. Tidak ada jalan pintas kepada mana- mana pihak.

Setiap satu perkhidmatan e-hailing dari Grab hingga Gojek, semuanya harus melalui proses penilaian dan pematuhan garis panduan yang ketat. Ini bermakna, tidak ada istilah kerajaan cuba mendahulukan atau menjatuhkan mana-mana syarikat; apatah lagi dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan kepada ekonomi tempatan.

Kerajaan juga tidak pernah berpendirian bahawa inisiatif pelaburan Gojek ini sebagai satu-satunya jalan ke arah ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Sudah tentu semua Kementerian sentiasa berusaha memberi dan menambah inisiatif yang mendahulukan kepentingan ekonomi rakyat. Gojek hanyalah salah-satu langkah yang berpotensi memberi sumbangan ekonomi sahaja.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat yang tidak putus-putus memberikan cadangan yang membina, mengajukan kerisauan serta menyumbang buah fikir kepada kerajaan. Kerajaan sentiasa akan berusaha untuk melakukan yang terbaik kepada kesejahteraan rakyat.


SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN merupakan menteri belia dan sukan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen