malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lepas Anwar telefon, penganjur batal himpunan isu Zakir Naik esok
Diterbitkan:  Aug 24, 2019 12:19 AM
Dikemaskini: 6:25 PM
ADS

Penganjur bantahan berkaitan isu penceramah kontroversi Dr Zakir Naik yang dijadual esok telah membatalkan rancangannya berbuat demikian.

Perhimpunan pertama bagi membantah pengenalan pelajaran tulisan Jawi di sekolah Tamil telah berlangsung malam ini di Little India, Brickfields.

Penganjur himpunan berkenaan, Shankar Ganesh berkata pembatalan perhimpunan aman esok selepas mendapat panggilan telefon daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Anwar Ibrahim telah menelefon saya dan meminta untuk membatalkan perhimpunan tersebut.

"Beliau berjanji untuk membantu masyarakat India. Beliau telah memberikan kami temu janji untuk bertemu dengannya pada minggu depan bagi membincangkan isu-isu ini.

"Saya telah bersetuju terhadap permintaan beliau dan saya mahu meletakkan keyakinan terhadap janji beliau," katanya dalam suatu kenyataan kepada Malaysiakini malam ini.

Selain itu, kata Shankar himpunan esok juga dibatalkan kerana kegagalan pihak penganjur mendapatkan permit polis.

"Tanpa permit, saya tidak mahu orang ramai menerima kesan akibat sebarang isu.

"Saya memilih berhimpun dengan permit," jelasnya lagi.

Himpunan 'Say No Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races' itu yang dijadual berlangsung 2 petang esok telah mendapat maklum balas daripada ramai pihak yang menggesa supaya ia dihentikan.

Petang tadi, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim memberikan amaran keras agar orang ramai tidak menyertai dua perhimpunan yang dirancang malam ini dan esok.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam suatu kenyataan malam ini pula menggesa semua pihak supaya "tidak memainkan isu sensitif yang boleh memecahkan keamanan dan ketenteraman awam."

"Semua bentuk tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan termasuklah perhimpunan-perhimpunan aman yang dirancang hendaklah dihentikan serta-merta," katanya.

Mengenai perhimpunan yang berlangsung malam ini, dilaporkan polis telah menangkap dua penganjur ketika bantahan berlangsung.

Peguam Devaneson Ganesan memberitahu Malaysiakini, polis sedang mengambil keterangan dua individu daripada kumpulan pendidikan Cina dan Tamil itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields

Pemangku Ketua Polis Brickfields Arifai Tarawe dipetik The Star berkata walaupun berlaku penangkapan, perhimpunan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Lihat Komen