malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bicara kes 1MDB-Tanore Najib mula Rabu ini
Diterbitkan:  Aug 23, 2019 9:30 PM
Dikemaskini: 1:30 PM
ADS

KES NAJIB | Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib Razak, akan bermula Rabu ini selepas beberapa kali penangguhan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan perbicaraan itu, yang juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’, bermula pukul 9.30 pagi, 28 Ogos.

Bekas perdana menteri itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram, yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan SRC masih berjalan pada pagi ini dengan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyoal balas saksi terakhir.

"Muhammad Shafee mungkin memerlukan satu setengah jam untuk menyelesaikan pemeriksaan balas manakala pendakwaan pula memerlukan dua jam lagi untuk pemeriksaan semula," katanya dan menambah bahawa pendakwaan memerlukan setengah hari untuk menyelesaikan kes SRC itu.

Muhammad Shafee bagaimanapun, sekali lagi memohon perbicaraan kes 1MDB itu bermula pada 3 Sept atas alasan pembelaan memerlukan masa untuk bersedia dalam perbicaraan kes 1MDB.

"Semalam, dua jilid dokumen lagi diserahkan kepada kami. Jadi kami memerlukan masa untuk membuat persiapan bagi perbicaraan itu. Saya berharap mahkamah akan menggunakan budi bicara untuk memberi kami lebih masa bagi membuat persediaan kerana ia akan menjejaskan persediaan kami,” kata peguam itu.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang kini dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes 1MDB, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan telah bersedia dengan enam saksi yang akan memberi keterangan selepas beliau menyampaikan kenyataan pembukaan pada Rabu.

"Keterangan saksi pertama dan kedua sangat ringkas," kata Sri Ram.

Difahamkan saksi-saksi yang akan dipanggil minggu depan terdiri daripada pegawai tadbir Farah Nurdiana Azhar yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen Malaysia serta pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri.

Najib, 66, berdepan empat tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) undang-undang yang sama.

Bekas perdana menteri itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali hari Jumaat; dan dua minggu pertama pada bulan November untuk mendengar perbicaraan kes 1MDB Najib.

Awal minggu ini (Isnin), hakim itu juga telah menangguhkan perbicaraan kes itu, yang dijadualkan bermula pada 19 Ogos hingga Isnin depan.

- Bernama

Lihat Komen