Pengiklanan

    Satu lagi parti berasas kaum India ditubuhkan

    (Dikemaskini )

    Sebuah lagi parti berasaskan kaum India ditubuhkan yang dikenali sebagai Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), bagi memperjuangkan isu membabitkan masyarakat itu di negara ini.

    Mengumumkan penubuhan parti tersebut, pengasasnya, R Shanmugam berkata KKIM bukan bertujuan menentang parti-parti politik sedia ada, sebaliknya bekerjasama dengan mereka untuk membawa negara ini ke tahap lebih tinggi.

    R Shanmugam, 49 merupakan bekas krew penerbangan di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Atlanta serta mempunyai pengalaman 14 tahun mengelilingi dunia.

    “Sebagai krew kabin, pengalaman saya mengelilingi dunia mendapati pandangan negara-negara dunia terhadap negara kita sangat rendah.

    “Saya percaya rakyat Malaysia sangat cerdik dan bijak tak kira bangsa dan agama. Namun, masih ada sesuatu kekurangan. Jadi, kita perlu memperbetulkan,” katanya kepada pemberita di sidang media di Hotel Dorsett Grand, Subang hari ini.

    Pada masa ini empat parti mewakili kaum India iaitu MIC, Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF), Makkal Sakhti, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Parti Keadilan India Malaysia (PKIM).

    Selain itu kaum India di negara itu turut terlibat dalam parti-parti berbilang kaum seperti DAP, PKR dan MyPPP selain menjadi ahli bersekutu dalam PAS (Dewan Himpunan Penyokong PAS).

    Permohonan untuk mendaftarkan KKIM dibuat pada 24 April 2018 dan diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 28 Mei tahun lalu.

    Dakwa ada hampir 30,000 ahli

    Shanmugam mendakwa partinya kini mempunyai hampir 30,000 ahli di mana kebanyakan terdiri daripada golongan muda dan ahli perniagaan.

    “Kami nak tegaskan di sini bahawa kami merupakan ‘neutral’ dalam arena politik.

    “Bagi saya semua parti politik yang ada sekarang membuat yang terbaik atas kapasiti masing-masing. Tapi masih ada yang tertinggal,” katanya.

    Shanmugam berkata partinya akan memfokuskan kepada isu pendidikan, ekonomi, sosial dan bangsa.

    “Seperti saya kata sebelum ini, kami tidak musuh kepada sesiapa. Tujuan kami adalah membawa perpaduan kepada semua,” jelasnya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih