malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Taiwan perluas dasar pelancongan mesra Muslim
ADS

ULASAN | Taipei mungkin bukan pilihan utama bagi golongan Muslim tempatan untuk melancong kerana perbezaan budaya dan makanannya di tempat yang majoritinya kaum Cina.

Namun, kekhuatiran ini dapat dilenyapkan kerana sebenarnya pelbagai kemudahan yang mesra Muslim sudah disediakan di seluruh Bandar Taipei.

Realitinya, menurut laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2019 oleh MasterCard-CrescentRating, Taiwan disenaraikan tempat ketiga dalam kategori destinasi pelancongan mesra Islam perdana bagi destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kerajaan Taiwan kini gigih memperluaskan “Dasar Ke Selatan Baru” yang menumpukan perhatian kepada negara-negara Asia Tenggara, mereka juga berusaha menceburi pasaran Muslim dan produk halal.

Maka, bagi memperkenalkan lawatan mesra Muslim di Taiwan, Jabatan Penerangan dan Pelancongan Taipei menjemput empat agensi media termasuk Malaysiakini dan influencer Malaysia melawat ke Taipei selama tiga hari pada awal bulan Ogos ini.

Pengunjung Malaysia paling tertinggi

Pesuruhjaya Jabatan Penerangan dan Pelancongan Taipei Liu Yi-Ting berkata, berdasarkan statistik dari Kementerian Pengangkutan Bahagian Pelancongan Taiwan, bagi tempoh separuh pertama tahun 2019, warga Malaysia yang berkunjung ke Taiwan adalah seramai 265,142 orang.

Angka ini mencatatkan bilangan pengunjung yang tertinggi berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara, kata Liu sewaktu sidang media di Taipei.

“Pengunjung Malaysia adalah sumber yang amat penting kepada sektor pelancongan Taiwan,” tegas Liu.

Beliau turut berkata, Taipei sebagai sebuah bandar raya antarabangsa mempunyai pelbagai aspek dan keindahan yang bakal diterokai oleh pengunjung, maka “Undiscovered Taipei” menjadi tema bagi mempromosikan Taipei kepada rakan-rakan dari Asia Tenggara.

“Bagi mempertingkatkan sektor pelancongan Taipei, pihak kami gigih memperlengkapkan fasiliti dan kemudahan yang mesra Muslim dari segi pemakanan, penginapan dan ruang awam sejak beberapa tahun lepas supaya kawan-kawan Muslim dapat menikmati percutian mereka dengan lebih selesa dan mudah,” tambah Liu.

Menurut Liu, sebanyak 57 buah restoran dan hotel memperoleh pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Chinese Muslim Association (CMA).

Di samping itu, Discovery Center of Taipei, Stesen Utama Taipei (Taipei Main Station), Muzium Istana Negara, Taipei 101 dan beberapa destinasi pelancongan turut menyediakan kemudahan wuduk dan surau bagi pelawat Muslim, kata Liu.

Dengan adanya kelengkapan yang mesra Muslim, Liu berharap pelawat-pelawat Islam dapat menikmati keindahan Taiwan tanpa sebarang kerisauan.

Penginapan disediakan Quran

Bagi lawatan ini, pihak menganjur telah mengaturkan penginapan kami di The Howard Plaza Hotel yang berada di tengah-tengah bandar Taipei di mana hanya 3km jarak dengan Taipei 101.

Hotel 4 bintang ini adalah antara hotel yang mendapat pensijilan halal di Taipei, biliknya bukan sahaja disediakan al-Quran dan tikar sembahyang, waktu solat dan alamat Masjid Taipei juga dicetak dalam bentuk risalah.

Kami turut berpeluang melawat ke dapur halal hotel tersebut bagi menyaksikan proses dan cara hotel menyediakan makanan halal.

Dapur halal khasnya diasingkan dengan dapur utama hotel, dan hanya digunakan sewaktu penyediaan makanan halal.

Pihak hotel bukan sahaja menyediakan menu khas untuk penginap Muslim, pinggan mangkuk yang menghidangkan makanan halal turut mempunyai logo halal yang dikeluarkan oleh CMA.

Restoran halal kegemaran pemimpin Malaysia

Sememangnya golongan Muslim tidak ramai di Taiwan, bukan semua restoran atau kedai makan mempunyai pensijilan halal walaupun ia mungkin adalah jenama antarabangsa seperti KFC atau McDonald’s.

Bagaimanapun, menikmati makanan halal bukan satu perkara yang susah di Taipei.

Sepanjang lawatan ini, kami berpeluang menikmati hidangan halal di Yunus Halal Restaurant yang terletak di Daerah Songshan yang diusahakan oleh warga Muslim China.


Restoran ini menghidangkan masakan ala Thai, turut menampalkan gambar-gambar pemimpin Malaysia dan Indonesia yang pernah datang sini untuk menjemu selera.

Mereka antaranya ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, Yang Dipertua Sarawak Taib Mahmud, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Pelancongan perubatan turut sasar pasaran Muslim

Pengalaman melancong di Taipei tidak terhad dengan lawatan ke destinasi pelancongan atau menikmati makanan sahaja.

Kini, pelancongan perubatan terutama bagi sektor pengurusan kesihatan dan perubatan estetik telah berkembang pesat di Taiwan dan menjadi trend bagi pelancong asing mencuba perkhidmatan ini kerana kos dan harganya lebih rendah berbanding dengan Korea dan Jepun.

Kerajaan Taipei turut mensasarkan pasaran Muslim dalam bidang ini dengan menggalakkan klinik dan hospital tempatan mendapatkan pengiktirafan status mesra Muslim dan sijil halal.

Sebagai contoh, Taipei Beitou Health Management Hospital yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, kini turut menyediakan kemudahan mesra Muslim di premisnya bagi menarik pasaran Muslim.

Selain fasiliti surau, tempat makan dan penginapan, bilik perubatan turut khas diasingkan kepada penggunaan Muslimin dan Muslimat apabila menjalankan pemeriksaan badan seperti CT scan, MRI dan lain-lain lagi.

Menurut naib pengarahnya, David Wei, kebiasaan harga bagi pemeriksaan seluruh badan adalah NTD8,000 (lebih kurang RM1,070). Hospital ini turut menawarkan pakej penginapan di mana hotelnya bersambung dengan hospital yang hanya memerlukan NTD6,000 (RM800) sehari termasuk perkhidmatan kesihatan.

Tambahnya, pelanggan turut dapat menikmati spa dan air panas di bilik hotel di mana air panasnya datang secara langsung dari Beitou yang terkenal dengan kolam pemandian air panas.

Rasai keindahan Taiwan

Sepanjang lawatan ini, rombongan kami berkesempatan bersemuka dengan Datuk Bandar Taipei Ko Wen-je di Dadaocheng Wharf yang berlangsung konsert perayaan hari kekasih Cina sambil menikmati “Ice-Monster” iaitu ais kacang versi Taiwan yang meletak buah-buahan.

Kami juga berkunjung ke Taipei 101 untuk meninjau pemandangan bandar Taipei pada malam di tingkat 89 dan belajar seni cetak saring yang mempunyai corak-corak berkaitan dengan makanan tradisi Taiwan.

Perjalanan kami diakhiri di pasar malam yang paling terkenal di Taipei iaitu ShihLin Night Market sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada keesokan pagi.

Keindahan pemandangan dan kemesraan orang Taiwan tidak dapat digambarkan sepenuhnya dalam artikel, maka datanglah ke Taiwan dan merasai keindahannya.

Lihat Komen