malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dego Ride gesa k'jaan utamakan pemain tempatan
Diterbitkan:  Aug 23, 2019 10:38 AM
Dikemaskini: 3:26 AM
ADS

Dego Ride menggesa kerajaan mengutamakan pemain tempatan setelah memberi lampu hijau untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia.

"Saya berharap Dego Ride diberikan pasaran tersendiri dalam pasaran luas perkhidmatan e-panggilan bagi membolehkan kami berkembang.

"Pesaing boleh dibenarkan, tetapi kami mahu satu pasaran tersendiri yang membolehkan kami membuat pengkhususan," kata Nabil Feisel Bamadhaj seperti dipetik Free Malaysia Today hari ini.

Nabil ialah pengasas Dego Ride, syarikat pertama yang memperkenalkan khidmat teksi motosikal di Malaysia, sebelum diharamkan kerajaan pada awal tahun 2017.

Beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk membenarkan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini.

“Ia bukan sahaja lampu hijau kepada Gojek, tetapi juga membenarkan Dego Ride memulakan semula perkhidmatan kami," katanya yang menjangka perkhidmatan itu akan menerima respons yang baik daripada orang ramai.

Pada 21 Ogos lalu, kabinet setuju secara prinsip terhadap cadangan perkhidmatan itu yang dikemukakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ia selepas pertemuan Syed Saddiq bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dengan pengasas Gojek Nadiem Makarim.

Kementerian Pengangkutan diberi masa sebulan untuk menghantar laporan berkenaan pelaksanaan dan mekanisme perkhidmatan itu.

Lihat Komen