malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-57: Saksi akui tak siasat dakwaan Najib wang dalam akaun dari sumbangan
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa menyalah guna dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-57 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawa liputan langsung perbicaraan.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

Perbicaraan SRC sambung Selasa minggu depan

4.58pm - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan prosiding akan bersambung semula pada jam 9 pagi Selasa minggu depan.

Hakim menetapkan tarikh selepas DPP V Sithambaram memberitahu mahkamah perbicaraan kes 1MDB Najib Razak akan bermula pada hari Rabu.

Terdahulu semasa penangguhan ringkas perbicaraan SRC, pasukan pendakwaan dan pembelaan bekas perdana menteri itu telah hadir pengurusan singkat kes 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

Sequerah bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB yang dijadualkan pada Isnin hingga Rabu itu, untuk membolehkan perbicaraan SRC di hadapan hakim Nazlan selesai.

Selepas sebutan kes secara ringkas, pasukan pendakwaan dan pembelaan Najib kemudian kembali ke mahkamah Nazlan untuk memaklumkan kepadanya mengenai sekiranya Sequerah telah bersetuju untuk mengosongkan perbicaraan kes 1MDB pada hari Isnin.


Bicara kes SRC tangguh sementara

4.25pm - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan penangguhan sementara perbicaraan kes.

Ini untuk membolehkan pasukan pembelaan Najib Razak pergi kepada Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bagi sebutan kes RM2.28 bilion 1MDB melibatkan bekas perdana menteri itu.

Sebutan kes itu bagi memaklumkan Sequerah mengenai perkembangan perbicaraan SRC, untuk membantunya memutuskan sama ada mengekalkan tarikh perbicaraan 1MDB pada hari Isnin atau menangguhkannya.


Tandatangan pada dokumen bank tak dihantar untuk analisa kimia

3.45pm - Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberitahu mahkamah bahawa dia tidak menghantar sebarang dokumen perbankan yang diperolehi dalam siasatannya terhadap SRC International untuk analisis tandatangan di Jabatan Kimia.

Menurut keterangannya, pegawai itu berkata tiada keperluan melakukan hal demikian kerana tidak ada laporan yang dibuat atau sebarang tuduhan yang dibuat mengenai kemungkinan pemalsuan tanda tangan dalam kasus itu.

Beliau juga bersetuju bahawa sampel tandatangan telah diambil daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin.

Bagaimanapun, Rosli berkata sampel ini juga tidak dihantar untuk analisis dan hanya diambil untuk persediaan jika keperluan itu timbul.

Pegawai itu juga memberi keterangan bahawa tiada sampel tandatangan diambil daripada Nik Faisal Ariff Kamil kerana tidak ada tuduhan pemalsuan tandatangan yang diperlukan untuk mengambil sampel tandatangannya.


Pegawai SPRM akui tak siasat dakwaan Najib wang dalam akaun dari sumbangan

3.30 petang: Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain berkata dia tidak pernah menyiasat sama ada bekas perdana menteri Najib Razak memang menerima derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, dia berkata Najib ada memberitahu pegawai siasatan tentang dirinya menerima sumbangan dalam akaun peribadinya, tetapi dia tidak membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan itu kerana merasakan ia tidak relevan dengan kes.

Shafee: Seperti saya sebut sebelum ini , tentang pertemuannya (Najib) dengan Raja Arab Saudi, anda tahu dia ada sebut perkara ini (ketika beri keterangan kepada SPRM)?

Rosli: Ya.

Shafee: Anda ada buat siasatan lanjut?

Rosli: Yang Arif, saya tak buat siasatan lanjut kerana ia tiada kena-mengena dengan kes saya.

Shafee: Jadi itu jawapan anda - sumbangan ini termasuk dari Arab Saudi tak relevan dengan kes ini?

Rosli: Ya.

Peguam itu kemudian terus menyoal Rosli, antaranya sama ada dia tahu salah satu hujah pembelaan Najib dalam kes ini adalah bekas perdana menteri itu tidak tahu wang dalam akaunnya berpunca daripada sumber tidak sah, dan yakin dia membelanjakan dana yang disumbangkan kepadanya.


Pegawai SPRM tak setuju Nik Faisal tak pernah babitkan Najib

3.15 petang: Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain tidak setuju dengan soalan peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan CEO SCR International Nik Faisal Ariff Kamil tidak pernah membabitkan Najib Razak.

Saksi ke-57 itu merujuk keterangan Nik Faisal yang diambil SPRM sebanyak dua kali di Jakarta, Indonesia, pada 17 Ogos 2015, dan satu ketika lagi pada bulan yang sama.

Shafee: Kalau saya kata Nik Faisal tak babitkan (implicate) langsung Najib?

Rosli: Tak setuju.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram kemudian bangun dan membantah soalan Shafee atas dasar ia bersifat spekulatif yang hanya akan menimbulkan jawapan yang bersifat spekulatif.

Sithambaran juga berkata bantahannya kerana soalan itu berkenaan keterangan Nik Faisal yang kini tidak ditemui.

Hakim bersetuju dan memberitahu Shafee agar merangka semula bentuk soalannya.


3.10 petang: Prosiding bersambung selepas rehat tengah hari dan sembahyang Jumaat.


SPRM bebas, kata pegawai penyiasat

12.25 tengah hari: Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain menegaskan agensi antirasuah berkenaan tidak mempengaruhi proses mengambil keterangan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin.

"SPRM bebas (tidak mempengaruhi)," kata Rosli ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee mengajukan soalan-soalan berhubung kebebasan SPRM dalam mengambil kenyataan daripada bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin.

Saksi ke-57 itu menegaskan bahawa rakaman penyataan daripada Suboh, yang baru pulang dari Indonesia ketika kenyataannya diambil tahun lalu, "sangat bebas" sehingga dia sendiri sebagai pegawai penyiasat SPRM tidak hadir ketika mengambil kenyataan itu di Kuala Lumpur.

"Saya tidak mengganggu, mengurus atau bercakap dengan (Suboh) semasa rakaman kenyataan itu," tegas Rosli.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan proses penangguhan untuk makan tengah hari dan solat Jumaat.

Perbicaraan akan disambung semula pada 2.45 petang.


'Najib dakwa belanja RM3.2j di Itali untuk beli hadiah bekas PM Qatar'

11.40 pagi: Najib Razak membelanjakan sejumlah RM3.2 juta di Itali pada Ogos 2014 untuk membeli hadiah kepada bekas perdana menteri Qatar, menurut pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain.

Perkara itu dibangkitkan ketika pemeriksaan balas dengan peguam Farhan Read, yang bertanya Rosli, saksi ke-57 pendakwaan, berkenaan traksaksi kad kredit oleh bekas perdana menteri itu di butik barang kemas mewah Swiss, De Grisogono di Itali.

Rosli berkata, Najib dalam keterangan kepada SPRM mendakwa dia membuat transaksi RM3.2 juta pada 8 Ogos 2014 untuk membeli hadiah kepada pemimpin sebuah negara.

"Itulah dakwaan beliau," kata Rosli.

Farhan kemudian mengeluarkan dokumen baru, yang merupakan salinan surat penghargaan didakwa daripada isteri perdana menteri Qatar kepada isteri Najib, Rosmah Mansor.

Bagaimanapun Rosli berkata dia tidak pernah melihat surat itu, dan Rosmah juga tidak menyebut perkara itu ketika SPRM mengambil keterangannya sebelum ini.


10.43 pagi: Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan bermula.

Peguam bekas perdana menteri itu, Farhan Read akan memulakan pemeriksaan balas dengan pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain.

Farhan memberitahu hakim yang dia mengendalikan pemeriksaan balas kerana peguam Harvinderjit Singh tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.


10.34 pagi: Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di barisan depan galeri awam.

Turut dilihat menunggu perbicaraan ialah ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan peguam lain, serta Peguam Negara Tommy Thomas dan para timbalan pendakwa raya.

Terdahulu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengendalikan beberapa perbicaraan menyebabkan kes SRC International bermula agak lewat daripada biasa.


9.55 pagi: Perbicaraan akan bermula sedikit lewat memandangkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang mengendalikan beberapa perbicaraan lain sejak sebelum pukul sembilan pagi.


Pemeriksaan balas dengan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussain yang merupakan saksi ke-57 dijangka selesai hari ini.

Peguam Harvinderjit Singh berkata demikian di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, semalam.

Jika Harvinderjit dan ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah berjaya melengkapkan pemeriksaan balas hari ini, ia akan membolehkan pasukan pendakwaan memulakan pemeriksaan semula dengan Rosli ketika sesi tengah hari.

Penamatan perbicaraan SRC International yang lebih cepat juga akan memberi masa kepada tertuduh, bekas perdana menteri Najib Razak, bersedia untuk perbicaraan kes 1MDB melibatkan RM2.28 bilion.

Setakat ini, perbicaraan untuk kes itu dijadual bermula Isnin ini.

Petang ini, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Lawrence Sequerah akan memutuskan sama ada perbicaraan itu akan diteruskan mengikut jadual atau sekali lagi ditangguhkan.

Lihat Komen