Pengiklanan

    Kisah 'cinta benci' menteri dan media

    (Dikemaskini )

    ULASAN | Selepas PH berjaya menamatkan dominasi BN sejak 60 tahun lalu, rata-rata rakyat Malaysia percaya bahawa negara ini mula melangkah ke era baru.

    Daripada petani ke doktor, pak cik dan mak cik di kampung hingga ahli akademik di universiti mula memerhatikan pentadbiran PH di bawah kepemimpinan Dr Mahathir Mohamad dengan harapan menggunung.

    Mereka percaya segala kesusahan dan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan BN akan hilang segera.

    Media yang memainkan peranan penting dalam kebangkitan rakyat Malaysia menolak BN juga tidak ketinggalan.

    Namun, selepas 15 bulan menjadi kerajaan, penulis percaya sebahagian besar daripada harapan menggunung itu masih terawang-awang jauh di atas sana.

    Sebagai wartawan, penulis berpendapat masih banyak yang perlu dipelajari oleh para menteri PH untuk mengukuhkan keyakinan orang ramai kepada kerajaan yang ada sekarang.

    Tanpa menuding jari secara pukal, memang ada anggota kabinet yang menunjukkan prestasi meyakinkan. Misalnya perdana menteri sendiri, selain Muhyiddin Yassin, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

    Namun selain nama-nama yang terhad itu, kebanyakan menteri nampaknya belum cukup menyerlah. Malah mungkin dalam keadaan tertentu, prestasi mereka sebenarnya malap.

    Hal itu kerana, antara lain, sesetengah menteri gagal menguruskan media dengan berkesan. Atau dalam kata lain, mereka tidak berupaya memanfaatkan ruang yang ada untuk berkomunikasi dengan rakyat.

    Kenyataan berbeza untuk media berbeza

    Ketika menyiapkan cetusan pandangan ini, penulis terfikir: bilakah kali terakhir ada berita yang menarik diberikan oleh tokoh seperti Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, dan Mohamaddin Ketapi?

    Sebenarnya dalam kalangan anggota kabinet, ada antara mereka agak licik untuk mengelak media yang membuat liputan majlis tertentu.

    Bagi sesetengah menteri, mereka gemar menggunakan taktik tertentu untuk mengelak diajukan soalan - terutama secara spontan atau mengejut - selepas selesai sesuatu acara.

    Ia tidak termasuk insiden pegawai menteri menggunakan kata-kata kasar atau tidak wajar kepada wartawan untuk meminta mereka tidak menulis artikel berkaitan isu tertentu melibatkan bosnya.

    Pernah berlaku seorang pegawai - sebelum ini pernah menjadi wartawan - kepada menteri memarahi pengamal media yang menunggu di lobi parlimen untuk bertanya beberapa soalan kepada ketuanya.

    Untuk berlaku adil, penulis tidak pasti sama ada menteri terbabit mengetahui insiden berkenaan. Sekiranya tidak, harap beliau dapat mengambil perhatian.

    Dalam insiden berasingan pula seorang pegawai lain - juga bekas wartawan - menghubungi penulis untuk bertanya bagaimana Malaysiakini boleh memuat naik kenyataan media menterinya yang ditulis dalam bahasa Tamil.

    Menurutnya, kenyataan tersebut hanya ditujukan khas kepada akhbar-akhbar Tamil sahaja.

    Secara jujur, penulis tidak pernah berdepan pengalaman seorang menteri memberi kenyataan media berbeza untuk media Tamil dan media dalam bahasa lain.

    Balik kepada kisah taktik menteri-menteri PH 'mengaburi' langkah pengamal media.

    Kaedah pertama ialah, mereka meminta atau mengarahkan agar wartawan hanya menyoal isu-isu berkaitan majlis yang dihadiri sahaja. Hal ini menyebabkan petugas media yang datang dengan beberapa soalan semasa tidak dapat menyempurnakan tugasnya.

    Satu perkara yang perlu dijelaskan di sini ialah, ada sebab mengapa wartawan datang untuk bertanya soalan yang tidak ada kaitan dengan sesuatu majlis yang dihadiri menteri.

    Antaranya, memang lumrah untuk wartawan sukar menghubungi seseorang menteri bagi mendapatkan pandangannya berhubung sesuatu isu.

    Boleh jelaskan dengan sopan

    Sama ada menteri terbabit tidak menjawab panggilan telefon, atau membiarkan mesej yang dihantar wartawan 'sepi' sehingga ke sudah.

    Jadi, sesuatu majlis yang dihadiri menteri menjadi satu-satunya tempat paling mudah dan sesuai untuk media bertanya soalan berkenaan kementerian atau parti masing-masing.

    Taktik kedua yang pernah digunakan menteri PH ialah 'ghaib' pada saat yang tidak dijangka wartawan, atau ketika kebanyakan petugas media sedang leka dengan hal-hal lain.

    Misalnya seorang menteri yang meminta wartawan menikmati jamuan yang disediakan pihak penganjur terlebih dulu sebelum mengajukan soalan.

    Ketika wartawan menjamu selera, ketika itulah ada menteri yang bergegas meninggalkan lokasi majlis dan membiarkan soalan-soalan yang sepatutnya ditanyakan, tergantung tidak berjawab.

    Bukanlah penulis berniat untuk mengaibkan sesiapa atau berniat jahat dengan kisah yang dinyatakan di atas. Sebaliknya ia dibuat agar kerajaan memahami bahawa hubungan mereka dengan media sepatutnya berjalan dengan baik pada semua keadaan.

    Media bukan hanya berguna kepada menteri atau pemimpin politik ketika mereka bermasalah atau mahu menyebarkan mesej untuk menarik sokongan rakyat semata-mata.

    Menteri dan pemimpin politik perlu faham bahawa, mengajukan soalan adalah memang tugas wartawan. Sekiranya soalan yang dikemukakan itu tidak disenangi, ia bolehlah dinyatakan secara bersopan.

    'Melarikan diri' bukanlah jawapan yang baik untuk seorang pemimpin kerajaan yang baik.


    B NANTHA KUMAR ialah wartawan Malaysiakini.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih