malaysiakini logo
story-image
ADS

PULASAN l "Sedang rancak dengan isu perkauman dalam media sosial ni, aku sibuk menelaah buku-buku sebagai pedang untuk berjuang.

"Satu perkara menjadi persoalan: Adakah polemik kebencian ini akan membawa negara kepada harmoni?" tulis Afif di Facebooknya semalam.

Dia lelaki rumah tangga dari Kedah yang cekal menemani isterinya bertugas di kawasan pedalaman Sabah. Mereka tekun mendepai dengan pelbagai cabaran hidup di situ sambil-sambil berharap Kementerian Pendidikan bersimpati dengan apa yang sedang dihadapi.

"Isu tulisan Jawi, Dong Zong, Zakir Naik, bendera terbalik, kuil dirosakkan, masjid dibakar - semua itu adalah racun perkauman yang membunuh kewarasan masyarakat. Masing-masing menunjuk taring," tulisnya lagi.

Kegigihan pasangan itu selalu mengingatkan saya kepada Dr Maszlee Malik yang memimpin Kementerian Pendidikan di era Malaysia Baru ini.

Selain bersimpati kepada nasib para guru duka lara yang masih belum diatasi ini, ada keperluan lain yang turut mendesak perlu diperhatikan Kementerian Pendidikan.

Dalam keadaan semasa yang serba menyesakkan perut ini, terfikir juga kalau-kalau Maszlee dapat berbuat sesuatu agar pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris memberi penekanan yang lebih kepada aspek kefahaman.

Dr Maszlee Malik

Sebahagian besar daripada isu yang sedang dihadapi kini berpunca daripada kegagalan masyarakat memahami dengan sepenuhnya apa yang berlaku. Atau mungkin juga sengaja enggan memahami.

Isu Zakir misalnya. Sebahagian kita membuat kefahaman pukal bahawa semua orang Islam wajib bersama-sama pendakwah dari India itu. Wajib. Tidak boleh tidak. Jangan berkata "uh!" pun.

Cuma ada dua pilihan

Sedangkan dalam kalangan orang yang bersikap sedikit kritikal itu, mereka masih bersama-sama dengan Zakir. Cuma mereka tidak setuju apabila Zakir campur tangan (dan campur cakap) dalam isu politik domestik.

Ketika keadaan sedang panas Zakir mengipas bara di Stadium Sultan Muhammad IV pula.

Walaupun Zakir sudah beberapa tahun tinggal di Malaysia ini, dipercayai belum cukup mendalam lagi pengetahuan dia mengenai sepak terajang politik perkauman di Malaysia. Jika mendapat keterangan tambahan, siapa pula yang menyalurkan maklumat tersebut?

Dr Zakir Naik

Memanglah Zakir itu manusia yang hebat. Tetapi jangan sampai kehebatannya itu membuat mata kita kabur dan menganggap dia sempurna. Ulama-ulama yang membela Zakir sekarang pun ada sebahagiannya menggunakan hujah sama ketika mengkritik sesetengah perawi atau sanad hadis, atau ulama besar semasa memberi kuliah.

Malangnya kefahaman itulah yang gagal dicerna dengan baik.

Bagi sesetengah orang - terutama pemimpin politik pembangkang - di lidah mereka tidak ada lebih daripada dua pilihan. Hitam atau putih. Sokong atau benci. Beriman atau munafik.

Keadaan itu mengingatkan kita kepada kata dua pernah diberikan George Bush semasa mengabsahkan pencerobohan tentera AS di Iraq pada 2003 dulu.

Di mata - dan lidah - Bush, masyarakat dunia hanya ada dua pilihan: bersama "us" atau "others".

George Bush Sr bersama anaknya, George Bush Jr

Tetapi mungkin jugalah di Malaysia ini, sedikit sebanyak tempias pengaruh itu ada juga. Maklumlah, berkawan kamceng dengan CIA....

Sama halnya dengan isu Utusan Melayu bergelut untuk bernafas. Ketika syarikat itu kelihatan seperti ikan yang terdampar di atas tanah, penyelesaian yang terfikir oleh kebanyakan orang ialah menggerakkan kempen membeli akhbar.

Kalau kena caranya, memanglah. Daripada puluhan juta umat Malaysia ini, beberapa peratus yang sanggup membeli akhbar itu akan memberi nyawa lanjutan buat syarikat yang berkali-kali disaman - dan kalah - oleh pemimpin Pakatan Harapan.

Tetapi itu adalah langkah yang tepat pada 10 tahun lepas.

Dalam keadaan sekarang, membeli akhbar bukanlah jawaban paling tuntas untuk menyelamatkan syarikat akhbar bersejarah itu. Sama halnya dengan mengumpul derma untuk membantu pekerja Utusan Melayu.

Ia hanyalah jalan keluar untuk jangka pendek. Sedangkan Utusan Melayu memerlukan penyelesaian jangka panjang.

Ketika industri persuratkhabaran seluruh dunia sedang berada di rumah hospis, bagaimana umat Melayu Malaysia boleh diajak membeli akhbar ini? Kalau ada pun, ia adalah penyelesaian berantai yang memakan masa lama untuk berjaya.

Cuma diburu jika ada nilai

Ini yang dimaksudkan gagalnya memahami keadaan semasa.

Kecualilah kesukaran itu memang disengajakan agar orang ramai membeli akhbar itu yang gigih dengan agendanya yang tersendiri dan propaganda yang dihidangkan akan menyerap dalam fikiran pembaca sedikit demi sedikit.

Ia mungkin sesuai untuk penyokong PAS. Cuma, tidak banyak yang boleh diharapkan kepada mereka kerana akhbar Harakah sendiri nasibnya tidaklah lebih baik berbanding Utusan.

Ketika orang ramai diseru menggunakan kuasa pengguna untuk mendapatkan produk yang terbaik, tiba-tiba kuasa pengguna yang besar itu dilayukan agar mereka melanggan akhbar terbitan Utusan Melayu?

Pengguna memiliki kehendak dan ia akan mencorakkan pasaran. Dan pasaran semasa enggan menerima corak berita Utusan Melayu yang kelihatan gagal berubah banyak selepas terbitnya matahari Malaysia Baru.

Jika ramuan itu diubah secara automatik selera masyarakat akan bertukar menjadi lebih berahi kepada berita mereka. Jika tidak membeli akhbar pun, mereka akan melayani atau melanggan perkhidmatan dalam talian Utusan.

Sekarang ialah zaman digital. Bahan bacaan bercetak hanya akan diburu jika ia bersifat sentimental, monumental dan prestij. Keadaan berubah dan manusia hanya akan berjaya jika turut berubah.

Perubahan itu jugalah yang perlu ada pada pendakwah dan penceramah kondang kita. Ketabahan dan sifat sedar diri itu perlu ada.

Bukanlah mereka angkuh atau riyak. Hal itu rasanya boleh dipolemikkan lain kali. Maksud sedar diri itu ialah, mereka kena faham sekarang ini dunia bergerak atas teknologi dan maklumat terkini. Menadah kitab bukan lagi mesti dengan helaian kertas bersama mata pena, tetapi peranti yang canggih.

Maklumat disampaikan dan dicerakin bukan lagi sehala. Ia hanya benar semasa khatib menyampaikan khutbah. Selebihnya, ia bersifat pelbagai hala.

Maka pendakwah perlu bertabah apabila ada tulisan mereka dipersenda, atau mereka secara peribadi dicerca. Tidak ada pilihan kecuali bertenang dan beristighfar jika perlu.

Jika tidak, malulah kalau tidak dapat menahan perasaan ketika mereka - pendakwah terbabit - dari semasa ke semasa menyampaikan sirah Rasulullah yang berdepan dengan pelbagai dugaan semasa menyampaikan Islam.

Bukanlah Rasulullah itu suri teladan? Mengapa pendakwah kini mudah 'koyak' perasaannya ketika membaca komen-komen di media sosial yang membahaskan wacananya?

Sedangkan dia perlu faham, ada kemungkinan pencerca tulisannya itu mungkin laskar siber yang sengaja diupah untuk mematikan semangatnya? Lebih daripada itu, ia mungkin dirancang agar kebencian antara kaum semakin hangat.

Cuma perlu juga difahami, bara perkauman itu bukanlah ulah laskar siber semata-mata. Beberapa pihak juga lihai memainkannya dengan pelbagai rupa.

Ketika sebahagian daripada rakyat negara ini dididik agar menundukkan semangat perkauman, kini ada kumpulan tertentu memugarnya semula.

Sentimen yang jahat itu dipakaikan jubah dan serban untuk dibawa ke masjid-masjid. Dan jadilah sesetengah rumah ibadah itu sebagai pusat menyemai kebencian di antara kaum. Sedang Islam itu rahmat sifatnya.

"Mari kita lihat sejauh mana api kebencian itu baru dapat dipadamkan puluhan tahun lagi.

"Mari kita tengok apakah dengan ketakutan itu dapat mengamankan sebuah negara merdeka?

"Mungkin tahun ini kita tak perlu sambut merdeka, atau perlukah kita sambut dengan darah dan air mata?" tulis Afif sambil melayan perasaannya di Kudat.

Sayup-sayup, dari jauh si Afif itu menjentik perasaan kita yang mahu berfikir.

Untuk pemberi komen dan bakal pemberi komen pula, bolehlah mula melontarkan pandangan seadanya. Kutuk pun tidak mengapa, sebab apalah sangat kutukan di media sosial berbanding mehnah dan tribulasi yang dihadapi para pendakwah terdahulu.

Cuma sebagai pejuang Melayu, pastikan kamu menulis dan mengeja ayat bahasa Melayu dengan betul. Kalau tidak, malu pada budak-budak darjah empat tu.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang teringin melihat ustaz-ustaz bertanjak semasa menangkap ikan di lautan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen