malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jawi: Sebahagian besar penghuni PPR hadapi masalah rumah tangga
Diterbitkan:  Aug 22, 2019 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
ADS

Sebahagian besar aduan berkaitan masalah rumah tangga bagi pasangan Islam di Wilayah Persekutuan adalah melibatkan penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata secara keseluruhannya, aduan berkaitan masalah itu direkodkan meningkat pada tahun lepas iaitu kepada 9,347 kes berbanding 7,900 kes pada tahun sebelumnya.

“Menyedari permasalahan ini, kita mengambil langkah proaktif menerusi Skuad Sukarelawan Dakwah Islamiah Jawi (Sudi) untuk mendekati komuniti di PPR termasuk mengadakan pelbagai program perkongsian ilmu di tempat mereka agar menjadi medium yang boleh menambahkan lagi ilmu kekeluargaan dalam kalangan mereka.

"Masalah ini wajar ditangani kerana kesannya bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga terbabit malah memberi impak negatif kepada institusi masyarakat dan pembangunan negara untuk jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Advokasi Kekeluargaan Islam 'Merealisasikan Keluarga Rahmah' di Masjid Wilayah di Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Shahruddin Md Salleh.

Ia dihadiri lebih 300 peserta dan antara penceramah jemputan yang terlibat ialah Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Pada masa yang sama beliau turut berharap agar Kementerian Wilayah Persekutuan dapat bekerjasama dengan Jawi dalam usaha menangani masalah sosial dan keruntuhan institusi keluarga dalam kalangan penghuni PPR.

"Antara kekangan yang dihadapi dalam usaha menangani keruntuhan institusi keluarga di kawasan kediaman PPR ini biasanya mereka tidak mahu datang ke program-program kekeluargaan dianjurkan Jawi,” katanya.

Mengulas tentang perkara itu, Shahruddin berkata kementeriannya mempunyai peruntukan khas untuk mengadakan program-program ilmiah dan bantuan khusus berkaitan pelbagai isu kemasyarakatan.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memang mengadakan pelbagai program berkala di semua PPR dan dengan adanya bantuan Jawi selepas ini, ia melengkapkan lagi usaha kementerian membantu penghuni di PPR termasuk dengan mengadakan khidmat kaunseling," katanya.

- Bernama

Lihat Komen