malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syor lebar dan panjangkan Tambak Johor diperhalusi
ADS

Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor bersetuju memperhalusi cadangan supaya Tambak Johor dilebar dan dipanjangkan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, mesyuarat pertama jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam turut bersetuju untuk meneliti syor membina laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor.

Cadangan lain yang akan diperhalusi ialah membina laluan kapal dan membesarkan kompleks pintu masuk sedia ada di Tambak Johor, katanya.

Menurut KDN, mesyuarat itu turut memutuskan agar KDN menjadi pengurus bangunan bagi Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

"Mesyuarat juga bersetuju mewujudkan jawatankuasa kecil dianggotai oleh beberapa menteri serta wakil kerajaan negeri Johor, yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri untuk menyusuli dan memperhalusi inisiatif-inisiatif yang disyorkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor," katanya.

KDN berkata beberapa inisiatif segera telah dipertimbang dan diperakukan bagi menangani kesesakan di BSI dan KSAB antaranya meluluskan peruntukan khas dan tambahan bagi kedua-dua pintu masuk itu.

Di samping itu, katanya jawatankuasa akan turut mengkaji cadangan penubuhan satu badan tunggal bagi mengawal sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan-pelabuhan.

"Inisiatif segera yang lain ialah mengecualikan dasar kawalan pengisian bagi perjawatan di pintu masuk kepada pengisian penuh dan mengadakan kajian bagi mengenal pasti isu, cabaran dan hala tuju untuk keperluan kapasiti penggunaan masa hadapan," katanya.

Menurut KDN, kertas yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut ialah isu dan cabaran di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), BSI dan KSAB dari perspektif Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta inisiatif pelaksanaan bagi mengurangkan kesesakan di ketiga-tiga kompleks itu.

Penubuhan Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Perdana Menteri dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada 20 Jun lepas dengan KDN dipertanggungjawabkan sebagai urus setia, manakala Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan di peringkat negeri Johor dibubarkan.

-- Bernama

Lihat Komen