malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Fahmi Fadzil: Anwar bukan sengaja tidak hadir mesyuarat
Diterbitkan:  Aug 22, 2019 12:09 PM
Dikemaskini: 4:09 AM
ADS

PKR menafikan tuduhan bahawa presiden parti itu, Anwar Ibrahim sengaja tidak hadir pada mesyuarat pemimpin kanan parti-parti komponen Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, petang semalam.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata tuduhan yang dibuat oleh pengasas bersama Bersatu, Khairuddin Abu Hassan itu adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Fahmi berkata mesyuarat yang dirujuk oleh Khairuddin adalah mesyuarat khusus buat pimpinan PH yang mula-mula terlibat dalam pembentukan kabinet pada Mei 2018.

“Pertemuan tersebut adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara-perkara portfolio dan kementerian-kementerian.

“Ini bermaksud PKR diwakili Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pada ketika pembentukan kerajaan pasca PRU14 merupakan presiden PKR,” katanya.

Justeru, menurut Fahmi tuduhan yang dilempar terhadap Anwar yang dikatakan tidak menghormati konsensus PH adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Pada 10 Mei tahun lalu, Mahathir mengadakan pertemuan dengan presiden PKR, Wan Azizah, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk membincangkan pembentukan kabinet. Saifuddin Abdullah dari PKR turut hadir sebagai setiausaha gabungan Pakatan Harapan.

Adalah difahamkan bahawa mesyuarat petang semalam yang dirujuk oleh Khairuddin adalah mesyuarat mingguan kabinet.

Sejak petang semalam, beberapa akaun media sosial mula menuduh Anwar ponteng dalam pertemuan dengan perdana menteri.

Pagi ini, Khairuddin, yang bukan anggota mana-mana parti komponen PH, mengeluarkan kenyataan yang menuduh Anwar sebagai ego dan tidak menghormati Mahathir.

“Apa penting sangat mesyuarat biro politik parti PKR bila semua sepatutnya hadir ke mesyuarat tersebut?

“Mana yang lebih penting apabila perdana menteri jemput semua presiden-presiden parti komponen untuk hadir mesyuarat,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook hari ini.

Selain itu, Khairuddin juga berkata Anwar harus menghormati perdana menteri dan memberi keutamaan dalam hal pentadbiran PH.

“Kini pihak masih di bawah kepimpinan perdana menteri dan harus hormati perdana menteri sekarang.

“Sekiranya nak jadi tokoh pemimpin, kita kena pandai bagi keutamaan dalam hal-ehwal pentadbiran PH. Kalau ini pun tak tahu nak menilai macamana hendak jadi pemimpin yang baik,” katanya.

Lihat Komen