malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah tentukan tarikh mula bicara 1MDB Najib esok
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok sama ada perbicaraan jenayah berkaitan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak boleh bermula minggu depan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah pagi ini mengarahkan peguam dari kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengemaskinikan kepadanya berhubung kemajuan perbicaraan SRC International pada 4.30 petang esok.

Dalam memberikan perintah itu, Sequerah mendengar hujah awal kedua-dua pihak semasa pengurusan kes 1MDB pagi tadi sama ada perbicaraan boleh diteruskan pada 26 Ogos.

Hakim awal minggu ini menangguhkan perbicaraan, yang dijadualkan bermula pada 21 Ogos, hingga Isnin depan.

Gopal Sri Ram

Beliau kemudian diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram  bahawa pihaknya mempunyai perkara lain di Mahkamah Rayuan, yang telah ditetapkan pada tarikh sama untuk perbicaraan rayuan sivil oleh pasukan pembelaan Najib bagi menggugurkan bekas hakim mahkamah persekutuan itu daripada mengetuai pendakwaan dalam kes 1MDB.

"Pihak pendakwaan sudah bersedia untuk memanggil saksi memberi keterangan tanpa kenyataan saksi mereka,” katanya.

Sequerah kemudian memberitahu kedua-dua pihak bahawa beliau boleh memberi laluan untuk perkara itu pada hari Isnin, dan bersedia memulakan perbicaraan 1MDB pada pagi Selasa.

Hakim Collin Lawrence Sequerah

Bagaimanapun, peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mungkin memerlukan lebih banyak masa semasa pemeriksaan balas utma seorang pegawai penyiasat SPRM dalam perbicaraan SRC International yang mungkin berlarutan hingga minggu depan.

Shafee juga berkata, bahawa pihak pembelaan tidak dapat memberi tumpuan kepada persiapan perbicaraan 1MDB kerana mereka juga terikat dengan dua perkara lain berkenaan.

“Kami tidak boleh menumpukan perhatian terhadap kes 1MDB sementara kes SRC masih berjalan,” katanya.

 Shafee berkata berdasarkan kenyataan saksi bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, beliau menyebut pihak pendakwaan bertanyakan soalan mengenai e-mel dan perbualan BlackBerry Messenger.

Muhammad Shafee Abdullah

“Jadi pihak pembelaan memohon pendakwaan menyediakan dokumen berkaitan perkara itu,” katanya.

Beliau kemudian memohon budi bicara hakim supaya menetapkan tarikh permulaan untuk perbicaraan 1MDB pada 3 Sept memandangkan pihak pembelaan mempunyai masa seminggu untuk mengkaji 15 jilid atau 732 dokumen daripada pihak pendakwaan.

Sequerah kemudian memberitahu kedua-dua pihak untuk hadir di hadapannya pada 4.30 petang esok untuk mengemaskini dirinya mengenai kemajuan perbicaraan SRC International.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan peguam itu berkata terdapat laporan dari media asing bahawa Xavier Andre Justo (bekas pegawai PetroSaudi International Ltd) telah menyerahkan kira-kira 237,000 dokumen kepada SPRM yang mungkin relevan kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata beliau tidak pernah dimaklumkan atau mempunyai maklumat berkaitan perkara itu.

Berhubung empat tuduhan rasuah, Najib, 66, didakwa melakukan kesalahan itu di No. 55, di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) undang-undang yang sama.

Dia menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali hari Jumaat; dan dua minggu pertama pada bulan November untuk mendengar perbicaraan kes 1MDB Najib.

Awal minggu ini (Isnin), hakim itu juga telah menangguhkan perbicaraan kes itu, yang dijadualkan bermula pada 19 Ogos hingga Isnin depan.

Lihat Komen