malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Komen Anwar berhubung Lynas beri kesan negatif pada ekonomi - Redzuan
Diterbitkan:  Aug 22, 2019 11:05 AM
Dikemaskini: 3:38 AM
ADS

Gesaan Presiden PKR Anwar Ibrahim agar lebih banyak rundingan dan kajian mengenai keputusan kerajaan baru-baru ini untuk melanjutkan lesen operasi Lynas, mendapat kritikan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.

Kata Redzuan, Anwar tidak seharusnya membuat gesaan sedemikian.

Sebaliknya, tegas Redzuan Anwar seharusnya menghantar mesej bahawa kerajaan akan konsisten dengan dasarnya.

“Dia mesti memberi keyakinan kepada para pelabur bahawa kerajaan tidak akan bermain tarik tali terhadap dasarnya tanpa mengira siapa pun PM.

“Tindakannya meminta Tun mengkaji semula keputusan Kabinet berhubung Lynas akan memberi impak negatif kepada ekonomi," katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

Mengulas lanjut, Redzuan juga dilaporkan berkata Anwar yang akan mengambil alih pentadbiran Pakatan Harapan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tidak seharusnya menilai keputusan kerajaan berdasarkan emosi.

“Keputusan Kabinet mengenai Lynas sudah dimaklumkan, ia berdasarkan pendapat pakar tempatan dan antarabangsa termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa. Dan pendapat mereka berdasarkan fakta saintifik bukan tuntutan tidak berasas,” katanya.

Menurut Redzuan, Anwar harus ingat keputusan kabinet dibuat berdasarkan konsensus dan beberapa anggota Kabinet adalah pemimpin PKR.

“Keputusan yang dibuat berdasarkan konsensus harus dihormati, setelah semua, konsensus adalah apa yang Pakatan Harapan komited,” katanya.

Menteri kabinet, katanya, tidak boleh mengambil pengecualian terhadap keputusan yang dipersetujui kerana ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kolektif.

Selasa lalu, Anwar mempersoalkan langkah Putrajaya memperbaharui lesen operasi nadir bumi Lynas di Kuantan selama 6 bulan, dan meminta kajian semula keputusan itu.

“Saya fikir rundingan itu perlu diselesaikan secara bijak dan efektif,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pemimpin parti.

Mahathir mempertahankan keputusan membenarkan Lynas beroperasi, walaupun terdapat bantahan daripada aktivis dan beberapa anggota Kabinetnya sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, menggesa Anwar melawat kilang memproses nadir bumi itu, sebelum memberikan sebarang pandangan.

Kata Wan Saiful, langkah itu perlu bagi setiap ahli politik di negara ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

“Semua ahli politik boleh berikan pandangan tetapi adalah lebih baik jika mereka penuhi jemputan daripada Lynas untuk melihat kemudahan mereka, barulah boleh beri pandangan.

“Saya menyeru ahli politik dalam Malaysia baharu ini untuk berpolitik berdasarkan ilmu, fakta dan maklumat yang tepat, bukan berdasarkan andaian dan apa yang didengar. Kita kena turun ke lapangan untuk lihat sendiri apa yang berlaku,” katanya dipetik Berita Harian.

Pada 15 Ogos, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) mengumumkan lesen Lynas dilanjutkan selama 6 bulan tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk membina kemudahan “cracking and leaching” di luar negara.

Syarikat itu juga diberitahu untuk mengenal pasti tapak pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.

Lihat Komen