malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kaji selidik: Rakyat M'sia berbelah bahagi terhadap pendidikan satu aliran
ADS

Tinjauan mendapati rakyat Malaysia berbelah bahagi dalam soal pemansuhan sekolah vernakular, dengan sebab utama mereka yang tidak bersetuju adalah risau dengan kemungkinan berlakunya diskriminasi di sekolah satu aliran.

Kaji selidik Vase.ai untuk Malaysiakini mendapati 51 peratus responden menyokong pendidikan satu aliran, manakala 49 peratus responden membantah.

Peratusan terbesar bantahan daripada responden kaum Cina, dengan dua pertiga membantah idea tersebut. Bagi kaum India pula, sejumlah 53 peratus membantah pendidikan satu aliran.

Bagi responden Bumiputera, peratusan yang menyokong pendidikan satu aliran tinggi sedikit berbanding yang membantah, iaitu 58 peratus.

Kaji selidik melibatkan 1024 responden di seluruh negara. Mereka ditanya sama ada menyokong sekolah satu aliran, yang bermakna pemansuhan SJKC (Cina), SJKT (Tamil) dan sekolah agama di peringkat rendah.

Kaji selidik diadakan sebagai sebahagian daripada penyelidikan Malaysiakini untuk memahami kesan sistem sekolah yang terpisah terhadap integrasi. Artikel itu akan diterbitkan sehari sebelum Hari Merdeka, minggu depan.

Pada Isnin lalu, Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin - yang sebelum ini menyokong pendidikan satu aliran - berkata pemansuhan sekolah vernakular akan mencetuskan "huru-hara dari segi dasar".

Menurut The Malaysian Insight, Khairy berkata sistem pendidikan satu aliran - yang bermakna menggabungkan sekolah swasta komersial dan sekolah agama yang dikendali komuniti - juga akan menyebabkan "huru-hara dari segi politik".

"Saya rasa itu tidak boleh," kata bekas ketua pemuda Umno itu.

Ketakutan terhadap diskriminasi paling kuat di kalangan responden Cina

Sebab utama yang diberi responden untuk menolak sekolah satu aliran adalah takut terhadap diskriminasi kaum.

Ia juga menjadi sebab utama yang diberi responden Bumiputera.

Bagaimanapun ketakutan itu lebih kuat di kalangan responden kaum Cina, dengan 43 peratus menolak sekolah satu aliran kerana sebab itu.

Sebagai perbandingan, 36 peratus responden India dan 37 peratus responden Bumiputera takut akan diskriminasi kaum di sekolah satu aliran.

Pemeliharaan bahasa dan budaya pula menjadi sebab kedua paling banyak dipilih responden Cina dan India.

Sejumlah 33 peratus responden Cina dan 36 peratus responden India berkata mereka tidak percayakan Kementerian Pendidikan untuk memelihara dan mengekalkan budaya dan bahasa masing-masing.

Bagi responden semua kaum yang menyokong pendidikan satu aliran, perpaduan adalah sebab paling utama.

Didapati pandangan ini dikongsi semua responden yang menyokong perkara itu, tanpa mengira kaum.

Sejumlah 51 peratus responden yang menyokong idea itu percaya ia merupakan wadah yang baik untuk kanak-kanak semua kaum bergaul antara satu sama lain.

Idea pendidikan satu aliran telah dibangkitkan berulang kali, dan setiap kali ia akan berdepan dengan tentangan.

Tahun lalu, perkara itu merupakan antara resolusi yang diluluskan dalam satu kongres berkenaan masa depan Bumiputera anjuran Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

MCA kemudian menggesa anggota kabinet daripada kaum Cina untuk membantah perkara itu dan menjaga kewujudan sekolah vernakular Cina.

Pertubuhan pendidikan Cina seperti Dong Zong dan Jiao Zong secara konsisten memberi amaran berkenaan apa yang menurut mereka sebagai usaha untuk mengasimilasikan sekolah vernakular Cina dalam sekolah satu aliran.

[Baca laporan asal]

Laporan khas minggu depan: Bagaimana anak-anak Malaysia membesar dalam kepompong etnik

Lihat Komen