malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

LANGSUNG l Perbicaraan jenayah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa menyalah guna dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-56 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

 Ikuti laporan langsung:


Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini

5.00pm - Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.

Laporan langsung oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Jika para pembaca sukakan kerja kami, sokong media bebas dan mula langgani versi bahasa Inggeris Malaysiakini serendah RM0.55 sehari. Butiran di sini.


Hakim tiba-tiba tanya peguam Najib: Ada soalan lain

4.38pm - Seluruh mahkamah ketawa apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali bertanya peguam Harvinderjit Singh sekiranya dia ada lagi banyak soalan dalam pemeriksaan balas terhadap pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain.

Ketika Harvinderjit menanda barang kes dokumen mahkamah, Nazlan secara bersahaja tiba-tiba bertanya peguam itu: "Adakah ada soalan lain?"

Orang ramai di galeri awam, DPP dan peguam lain tertawa kerana Harvinderjit berhenti membelek-belek dokumen mahkamah tersebut.

Sambil tersenyum lebar, Harvinderjit berkata dia perlu membelek dokumen itu untuk tahu sekiranya dia dapat menyelesaikan perkara tersebut.

"Saya hampir siap, hanya perlu balik ke rumah dan meneliti (barang kes dokumen). (Peguam bela utama Najib, Muhammad) Shafee (Abdullah) mempunyai bahagian untuk diteliti (dalam pemeriksaan balas).

"Jadi tiada masalah untuk kami berhenti di sini, kami boleh selesai pada jam 12 esok," kata Harvinderjit.

Mahkamah sekali lagi tertawa pabila Nazlan dengan bersahaja sekali lagi bertanya sekiranya Harvinderjit bermaksud 12 tengah hari (dan bukan 12 malam).

"12 tengah hari," katanya tersenyum.

Nazlan kemudian membenarkan prosiding berhenti pada hari ini dan bersambung pada jam 9.30 pagi esok.


‘Penggunaan kad kredit bukan sebahagian dari 7 pertuduhan’

4.34pm - Pegawai SPRM Rosli Hussain setuju dengan peguam Najib bahawa perbelanjaan kredit kad Najib sebanyak RM3.2 juta di Grisono pada 2014 bukan subjek utama dalam tujuh pendakwaan padanya.

Harvinderjit: Mengenai perbelanjaan kad kredit RM3.2 juta di Grisono pada bulan Ogos 2014, kamu bersetuju bahawa ia bukan perkara utama dalam tuduhan kes ini?

Rosli: Ya, tetapi wang itu adalah hasil wang yang dipindahkan dari Pembinaan Putra Perdana ke Permai Binaraya.

Apabila Harvinderjit bertanya sekali lagi jika ia bukan perkara utama tuduhan, Rosli bersetuju.


Najib ada kepentingan, bukan Jho Low - saksi

3.50pm - Pegawai SPRM Rosli Hussain berkata Najib Raza yang mempunyai kepentingan dari SRC.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Jho Low ada kepentingan terhadap syarikat itu.

“Jho Low tak ada kepentingan dalam kes ini. Yang ada kepentingan Datuk Seri Najib,” kata kepada peguam Najib.


Mahkamah tegang seketika

3.35pm - Keadaan dalam mahkamah tegang ketika sesi soal balas terhadap pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain.

Ia berlaku apabila pihak pembelaan mencadangkan dia memaksa bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin menukar kenyataannya kepada penyiasat tahun lalu.

Ia berlaku ketika peguam Najib, Harvinderjit Singh merujuk keterangan Suboh di awal perbicaraan, yang dia setuju bahawa tandatangannya pada 17 arahan perbankan SRC International kepada Ambank mungkin dipalsukan.

Harvinderjit bertanya Rosli kenapa Suboh memberikan kenyataan berbeza pada SPRM.

Menurut peguam itu, Suboh pada Mei 2018 memberitahu SPRM dia tidak menandatangani borang Rentas untuk SRC International yang ditunjukkan padanya.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya yang dirakam sekali lagi pada Ogos 2018, dia menukar cerita.

“Siapa tekan dia tukar keterangan?” Harvinderjit pada Rosli.

Rosli kemudian bercerita berkaitan keadaan ketika kenyataan Suboh direkodkan di Abu Dhabi pada 2015 keadaan kesihatan lelaki itu ketika pulang dari Indonesia pada 27 Mei 2018.

Selepas berapa minit, Harvinderjit memotong dan berkata Rosli lari dari menjawab soalan.

Rosli kemudian mengangkat suara dan bertanya kembal: “Tuan nak saya terang tak?”

Peguam itu kemudian cuba mententeramkan saksi sebelum meneruskan soalannya.


Bekas pengarah SRC mohon penginapan selamat dari SPRM - saksi

3.30pm - Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain berkata bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin mendapatkan bantuan SPRM untuk mendapat penginapan selamat di Hotel Pullman, Putrajaya.

Saksi ke-57 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh berkaitan apa yang berlaku ketika Suboh kembali dari Indonesia pada 27 Mei tahun lepas.

Harvin: Dan SPRM bayar hotel ini?

Rosli: Ya.

Harvinderjit: Macam dikurung.

Harvinderjit: Dia yang mohon satu penginapan yang selamat.


2.41pm - Prosiding bersambung semula setelah rehat makan tengah hari.


‘Siasatan SPRM tak temu bukti komunikasi Jho Low, Nik Faisal dan Najib’

1pm - Pegawai penyiasat SPRM bersetuju dengan peguam bela Harvinderjit Singh bahawa hasil siasatan, tidak menemui sebarang komunikasi antara Jho Low, CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, dan Najib Razak.

Rosli Hussain

Saksi ke-57 itu bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Harviderjit semasa pemeriksaan balas.

Harvinderjit juga bertanyakan tentang pelbagai transaksi bank di akaun Ambank milik Najib yang berakhir dengan nombor 880, 906 dan 898 yang melibatkan transaksi jutaan ringgit.

Harvinderjit: Dalam siasatan, kamu tak dapat (menemukan) apa-apa komunikasi antara Jho Low, Nik Faisal dengan Najib, (sama ada melalui) emel, atau (aplikasi) sembang (telefon)?

Rosli: Tak ada.

Prosiding kemudian ditangguhkan untuk makan tengah hari dan akan bersambung pada 2.30pm nanti.

Saksi: Jho Low tidak dapat manfaat wang SRC International

12.55pm - Rosli memberitahu mahkamah bahawa siasatannya dalam kes SRC International tidak menemukan kepentingan daripada transaksi syarikat itu terhadap ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB- Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh, yang menyoal Rosli dengan cadangan demi cadangan, termasuklah cadangan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak terlibat dalam transaksi yang menyebabkan sejumlah RM42 juta dimasukkan dalam akaun AmBank peribadinya.

Bagaimanapun, Rosli tidak bersetuju dengan semua cadangan tersebut.

Harvinjerdit: Saya cadangkan bahawa perbualan Blackberry P578 sebenarnya menunjukkan bahawa orang yang selewengkan duit SRC adalah Jho Low, setuju?

Rosli: Saya tak setuju.

Harvinjerdit: Saya cadangkan (bahawa) perbualan Blackberry D650 menunjukkan bahawa Jho Low telah mengambil usaha (untuk) memastikan Najib tak dimaklumkan (tentang) transaksi (akaun) 880, 906 dan 898?

Rosli: Saya tak setuju.

Harvinjerdit: Saya cadangkan (bahawa perbualan) juga tunjuk bahawa Jho Low telah mengarahkan Nik Faisal tandatangan dokumen (bank)?

Rosli: Saya tak setuju.

Harvinjerdit: Saya cadangkan bahawa Jho Low telah juga mengawal akaun-akaun Putra Perdana Construction dan Permai Binaraya melalui Jerome Lee?

Rosli: Saya tidak setuju, yang arif.

Harvinjerdit: Saya cadangkan (perbualan) tunjukkan bahawa Jho Low yang sebenarnya cuba dapatkan wang dalam akaun-akaun 880, 898 dan 906 apabila akaun-akaun itu telah masuk overdrawn (keluaran lebih daripada baki akaun)?

Rosli: Saya tak setuju

Harvinjerdit: Saya cadangkan (perbualan) di bawah P578 dan D650 ini akan tunjuk (bahawa) Jho Low kawal pengeluaran wang dari akaun SRC melalui Terence Geh?

Rosli: Saya tak setuju.

Pasukan pembelaan pertikai kesahihan dokumen SRC  

12.25pm - Perbicaraan bersambung selepas mahkamah berhenti rehat seketika. Peguam bela Harvinderjit Singh memberi tumpuan ke atas dokumen yang dirampas SPRM daripada setiausaha syarikat SRC International, Chee Suwen dan bekas anggota lembaga pengarahnya, Ismee Ismail.

Dalam apa yang kelihatan seperti usaha Harvinderjit untuk menampakkan kelompongan dalam kes pendakwaan, peguam itu bertanyakan kepada pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain berkenaan keaslian dokumen tersebut serta sama ada terdapat pemeriksaan dilakukan bagi menyiasat sama ada dokumen itu palsu atau tidak.

Harvinderjit Singh

Dokumen yang menjadi pertikaian itu adalah minit dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah SRC International dan resolusi pekelilingnya.

Ini termasuklah dokumen-dokumen yang diserahkan Ismee kepada SPRM, yang mengandungi minit mesyuarat yang dikatakan berlangsung antara bekas perdana menteri Najib Razak dan pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil pada 7 September 2011.

Berdasarkan dokumen disediakan Ismee itu, Rosli bersetuju terhadap cadangan Harvinderjit bahawa tidak ada mana-mana pengarah atau setiausaha lain di SRC International yang mengesahkan keaslian dokumen tersebut.

Berdasarkan keterangan Rosli, hal itu demikian kerana pegawai SPRM tidak merujuk minit mesyuarat tersebut kepada pengarah-pengarah lain ketika mengambil keterangan mereka. Najib juga tidak dirujuk dengan minit tersebut ketika disoal siasat SPRM.

Rosli Hussain

Dia bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa minit tersebut mungkin telah dipalsukan.

11.43am - Prosiding bersambung.

11.20am - Mahkamah berhenti rehat sebentar.


Pegawai SPRM ditanya tentang kesahihan  tandatangan Najib

10.45am - Peguam bela Harvinderjit Singh cuba mengasak pegawai SPRM Rosli Hussain berhubung keaslian tandatangan Najib di dokumen-dokumen bank yang diserahkan dalam perbicaraan sebagai keterangan terhadap bekas perdana menteri itu.

Harvinderjit mencadangkan dokumen itu tidak asli dan mendakwa tandatangan itu tidak ditantangan Najib.

Rosli berkata beliau menganggap dokumen itu asli kerana ia dibekalkan oleh AmBank.

Rosli bagaimanapun mengaku dia bukan pakar analisis tandatangan dan tidak menghantarnya untuk diuji Jabatan Kimia.


Ada wang mengalir dari putera Saudi ke akaun Najib - saksi

10.30am - Pegawai SPRM Rosli Hussain setuju dengan peguam bela Harvinderjit Singh bahawa siasatan menunjukkan lebih RM300 juta masuk ke akaun Najib yang berakhir dengan nombor 694.

Rosli setuju dengan Harvinderjit bahawa dia menyiasat akaun itu pada 2011 dan terdapat aliran wang dari Putera Faisal Turki.

Harvinderjit: Bolehkah kamu mengesahkan bahawa terdapat aliran wang dari Putera Faisal Turki?

Rosli: Ya.

Apabila Harvinderjit bertanya sama ada jumlah itu melebihi RM300 juta, Rosli berkata jumlah berkenaan adalah “lebih kurang”.

Harvinderjit: Pengaliran wang ke dalam akaun itu adalah dari kementerian kewangan di Riyadh?

Rosli: Ya.

Harvinderjit: Ini diberikan dari Arab Saudi?

Rosli: Ya.


10.23am - DPP V Sithambaram peguam bela Harvinderjit Singh bertekak soal kebolehterimaan dokumen yang dicetak dari laman web SPRM Insider.

Sithambaram berkata kesahan cetakan itu yang dikatakan menunjukkan minit kertas siasatan SPRM, tidak dapat ditentukan.

Dokumen itu juga, kata Sithambaram, harus ditentukan dahulu sama ada diubah atau tidak.

Tommy Thomas

Jika perkara itu dibenarkan, pihak pembelaan boleh melakukan fishing expedition atau mencuba nasib mendapatkan maklumat tambahan.

Harvinderjit berkata dia mahu bertanya sama ada dokumen itu wujud atau tidak.

Hakim hanya membenarkan Harvinderjit bertanya sama ada dokumen itu asli atau tidak.


10.10am - Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain berkata dia tidak merujuk pada mana-mana undang-undang dan menggunakan inisiatif sendiri untuk memberitahu AmBank supaya merujuk kepada badan antirasuah itu dulu sebelum membenarkan Najib mendapatkan dokumen-dokmen bank.

Saksi ke-57 ini memberitahu Harvinderjit Singh dalam sesi soal balas.

Harvinderjit bertanya undang-undang apa digunakan pakai supaya AmBank menyemak dengan SPRM dahulu sebelum membenarkan Najib akses kepada dokumen dan akaunnya di bank itu.


9.59am - Najib masuk ke kandang tertuduh. Prosiding bermula.

9.48am - Najib Abdul Razak masuk ke mahkamah dan duduk di bahagian tempat tempat duduk awam sementara menunggu prosiding bermula.

9.20am - Peguam Najib Harvinderjit Singh masuk ke mahkamah.

Najib bagaimanapun tidak hadir kerana beliau dan majoriti peguam belanya buat masa ini hadir ke sebutan kes 1MDB melibatkan nilai RM2.28 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah.

Lihat Komen