malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam maafkan individu ugut pisahkan kepala dari badan
Diterbitkan:  Aug 21, 2019 11:32 PM
Dikemaskini: 3:32 PM
ADS

Peguam Syahredzan Johan berkata beliau menerima permohonan maaf individu yang membuat ugutan bunuh terhadapnya baru-baru ini, berkenaan isu penceramah Zakir Naik.

Beliau memaklumkan individu itu telah membuat permohonan maaf secara peribadi dan juga terbuka di Facebook.

"Semalam saya dimaklumkan oleh polis bahawa individu yang menghantar mesej ugutan telah pun didakwa di mahkamah, dan dilepaskan dengan ikat jamin mahkamah.

"Saya telah berhubung dengan individu tersebut di mana dia telah memohon maaf kepada saya atas mesej ugutan yang dihantar. Permohonan maafnya telah disiarkan di Facebook.

"Dia juga telah menjelaskan bahawa mesej tersebut dibuat mengikut emosi dan tidak berfikir panjang. Atas dasar kemanusiaan, dan simpati terhadap keluarganya, saya setuju untuk memaafkannya," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berharap tidak timbul lagi sebarang isu antara dirinya dengan individu tersebut.

Syahredzan menerima ugutan tersebut pada 14 Ogos lalu susulan gesaannya agar kerajaan membatalkan status penduduk tetap (PR) Zakir.

Beliau menerima mesej di Facebook yang berbunyi: "Kau usir Dr Zakir Naik aku akan cari kau sampai dapat dan aku akan pisahkan kepala babi kau tu dari badan kau. Ini sumpah aku demi agama Islam dan bangsa Melayu. Kalau berani cubalah".

Susulan itu pihak polis berjaya menahan suspek dan direman selama empat hari bermula 17 Ogos lalu, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Syahredzan yang juga setiausaha politik pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, berkata episod itu perlu dijadikan pengajaran oleh semua - termasuk dirinya sendiri - bahawa perbezaan pandangan tidak boleh sehingga mengakibatkan ugutan, keganasan atau apa-apa jenayah.

"Saya juga berharap kita sebagai rakyat Malaysia jangan terlalu taasub dengan mana-mana individu. Jangan kerana orang luar kita bergaduh dan berbalah sesama sendiri," katanya lagi.

 

Lihat Komen