Pengiklanan

    Timb menteri pertahan Pemuda Bersatu dilantik jadi pegawai KBS

    (Dikemaskini )

    Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim mempertahankan pelantikan anggota Pemuda Bersatu sebagai penyelaras pembangunan sukan negeri-negeri.

    Beliau berkata, pelantikan mereka dibuat berdasarkan prosedur perkhidmatan awam sedia ada.

    "Jadi saya rasa tiada masalah sama ada orang (yang dilantik) itu daripada kumpulan, persatuan atau parti mana," katanya ketika ditanya pemberita di Bukit Jalil hari ini.

    Sim tidak menjawab ketika ditanya sama ada pelantikan itu dibincangkan dengannya atau parti komponen Pakatan Harapan (PH), dan mengulangkan pendiriannya.

    "Seperti saya katakan pelantikan mereka dibuat berdasarkan prosedur perkhidmatan awam yang ada. Tidak ada (keperluan) soal latar belakang mereka," katanya lagi.

    Beliau enggan menjawab ketika ditanya jika pelantikan itu berkaitan dengan amalan kronisme.

    Terdahulu, surat kementerian berkenaan pelantikan 13 pegawai penyelaras sukan - seorang di setiap negeri, kecuali Sarawak - disebarkan di media sosial.

    Surat bertarikh 19 Ogos itu menyatakan pegawai yang dilantik bertanggungjawab menyelaraskan program dan pembangunan sukan di negeri, dengan tumpuan kepada sukan paralimpik.

    Mereka dijadual melapor diri di jabatan belia dan sukan negeri pada 21 Ogos ini.

    Laman Facebook Pemuda Umno Tebrau kemudian memuat naik imej yang dikatakan sebagai senarai pegawai yang dilantik - bersama nama dan jawatan dalam Pemuda Bersatu.

    Ia mempersoal sama ada pelantikan itu adalah kronisme dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Hari ini Sim menggantikan Syed Saddiq di saat akhir untuk menghadiri taklimat dengan bakal pelabur untuk program Malaysia Sports Challenge yang bakal diadakan.

    Soalan berkenaan pelantikan itu yang diutarakan kepada Syed Saddiq di kumpulan WhatsApp media tidak dijawab.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih