malaysiakini logo
story-image
ADS

Polemik mengenai pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik jika gagal ditangani secara berhikmah boleh mengundang kepada ancaman ekstremis.

Pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MyRISS) yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, isu berkenaan membuka ruang kepada kelompok ekstremis untuk bertindak di luar batas undang-undang.

Jelasnya, kerajaan harus mengambil iktibar kejadian serangan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) sekitar tahun 2000 berpunca apabila kerajaan dilihat gagal menyelesaikan isu-isu berkaitan agama

"Sudah kelihatan ancaman berbentuk senjata tajam, peluru hidup, cat merah, hitam dan juga surat ugutan.

"Kumpulan ekstremis ini tunggu masa untuk melakukan apa jua bentuk serangan apabila melihat Islam dan Melayu terancam di negara ini.

Dr Mohd Mizan Mohd Aslam

"Kerajaan tidak boleh selektif, jika Zakir diambil tindakan segera, jika 'Zikri Armstrong' yang menulis secara jelek berkaitan kematian Nora Anne juga diambil tindakan segera, maka diminta kerajaan mengambil tindakan segera ke atas laporan-laporan polis yang dibuat ke atas ramai lagi yang menghina dan mengaibkan Islam dan Melayu serta institusi beraja," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Polemik perkauman

Semalam, Zakir memohon maaf susulan ucapannya yang mengguris hati masyarakat bukan Islam dan menegaskan beliau bukan seorang yang rasis.

Beliau sekali lagi mengulangi kenyataannya telah dipetik di luar konteks sehingga dituduh menyebabkan masalah kaum di negara ini.

Kelmarin, Zakir disoal siasat lebih 10 jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur sehingga melepasi jam 12 tengah malam, susulan kenyataannya dalam acara di Kelantan awal bulan ini.

Dalam ceramah di Kelantan, Zakir mencadangkan bahawa "tetamu lama" yang merujuk kepada orang Cina, harus "balik dahulu" sebelum beliau berbuat demikian.

Beliau juga berkata penganut Hindu di negara ini lebih menyokong perdana menteri India berbanding perdana menteri Malaysia.

Selepas kritikan, beliau berkata kenyataan itu dipetik di luar konteks.

Dalam pada itu Mohd Mizan berkata, pihak berkuasa perlu bertindak secara adil dengan turut menyiasat individu termasuk menteri yang menghina Islam, orang Melayu dan askar.

"Hari ini isu agama, bangsa dan raja menjadi modal besar untuk ekstremis melakukan serangan jika mempunyai ruang dan peluang," katanya.

Sementara itu beliau secara peribadi bersetuju bahawa masalah luar tidak perlu dibawa masuk ke dalam negara ini.

Malah yakin jika Zakir tiada polemik perkauman tidak akan tercetus seperti mana yang berlaku hari ini yang boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan.

"Aliran pemikiran beliau adalah bertentangan dengan aliran yang diamalkan oleh majoriti penduduk negara ini. Beliau memang saudara seagama, akan tetapi kaedah dakwah beliau tidak sesuai di negara ini.

Lihat Komen