malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan inkues kematian Adib pada 27 September
ADS

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menetapkan 27 September sebagai tarikh menyampaikan keputusan inkues untuk mengetahui punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang pada tahun lalu.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh tersebut selepas mendapati tiada lagi keperluan untuk prosiding inkues itu diteruskan selepas prosiding tersebut ditutup pada 24 Julai lepas.

“Selepas meneliti semua keterangan, tiada apa-apa lagi untuk diteruskan.

“Mahkamah menetapkan tarikh keputusan pada 27 September (2019), pukul 10 pagi,” katanya hari ini.

Pada 24 Julai lalu, Rofiah menutup prosiding inkues berhubung mencari punca kematian Muhammad Adib selepas ia berjalan selama 41 hari.

Beliau juga sebelum ini menetapkan 21 Ogos (hari ini) sebagai tarikh bagi pihak berkepentingan untuk menyerahkan dokumen.

Keputusan hari ini sekali gus menolak permohonan pegawai pengendali kes, Faten Hadni Khairuddin yang mencadangkan supaya seorang lagi saksi patologi dipanggil.

Rofiah sebelum itu turut memaklumkan mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi sedia ada.

Inkues menyiasat kematian Adib itu berlangsung selama 41 hari pendengaran dan menyaksikan 30 saksi, termasuk beberapa saksi pakar tampil memberi keterangan.

Adib, anggota Jabatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah semasa rusuhan Seafield pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Inkues itu diadakan untuk menentukan punca kematiannya susulan terdapat dua versi bercanggah.

Satu versi mendakwa allahyarham dilanggar oleh kenderaan manakala satu lagi versi mengatakan beliau dipukul oleh perusuh.


Lihat Komen