malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak puas hati isu Zakir, pemimpin PAS doa Anwar kekal bakal PM
Diterbitkan:  Aug 21, 2019 12:59 PM
Dikemaskini: 4:59 AM
ADS

Tidak puas hati dengan ramai pihak yang mensensasikan syarahan pendakwah Islam Dr Zakir Naik, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohamad Nor secara sinis berkata beliau “mendoakan” agar Presiden PKR Anwar Ibrahim terus kekal sebagai bakal perdana menteri.

Pemimpin PAS itu berkata demikian susulan kenyataan Anwar yang tidak bersetuju dengan pendekatan dakwah Zakir yang dilihat menyentuh perkauman di negara ini.

“Anwar Ibrahim sebagai tokoh PH juga mengulas dalam keadaan tidak memberikan keuntungan kepada Dr Zakir sehingga saya terus mendoakan agar Anwar terus kekal sebagai bakal perdana menteri.

“Puncanya satu, iaitu isu Dr Zakir sekarang ini menjadi panas menggelegak sebabnya ia diapungkan oleh pemimpin DAP, pemimpin kerajaan yang tak mesra syariah, kelompok muslim liberal dan Hindraf,” katanya melalui tulisan di Harakahdaily hari ini.

Mengikut konsensus PH, Anwar akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kelapan pada satu tarikh yang masih belum ditetapkan.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012 turut mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di Malaysia yang dikatakan lebih mempercayai Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Mahathir.

Penceramah itu bagaimanapun telah memohon maaf susulan ucapannya yang mengguris hati masyarakat bukan Islam.

Dalam tulisannya, Riduan juga membuat perbandingan nasib Zakir sewaktu pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak dan yang terkini oleh Pakatan Harapan.

“Ironinya, Dr Zakir Naik yang kini namanya diratib kawan dan lawan telah lama mendapat PR (Pemastautin Tetap), iaitu di zaman Najib menjadi perdana menteri.

“Dalam tempoh dua tahun ini, beliau dijemput ke merata tempat untuk memberikan syarahan perbandingan agama, tapi tiada yang mensensasikan syarahan Dr Zakir seperti mutakhir ini sehingga memicu kepada isu perkauman,” katanya yang mendakwa ucapan tersebut diputarbelit oleh media.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menegaskan Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah melalui semua medium, termasuk media sosial.

Abdul Hamid berkata, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen