malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Sedar atau tidak, kita menghampiri ke penghujung tahun 2019 dan hanya empat bulan lagi, kita semua bakal memasuki tahun 2020.

Tahun 2020 merupakan satu tarikh keramat buat semua rakyat Malaysia, terutama golongan anak muda yang didendangkan dengan visi Wawasan 2020 sejak tahun 1991.

Wawasan 2020 adalah dasar pandangan jauh dikemukakan Dr Mahathir Mohamad sewaktu menjadi perdana menteri keempat ketika membentangkan kertas kerja khas bertajuk “Malaysia: Langkah ke Hadapan” pada persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada 1 Mei 1991.

Persoalannya hari ini, adakah Wawasan 2020 sudah tersasar?

Antara matlamat Wawasan 2020 adalah untuk mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama.

Matlamat-matlamat itu ialah Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Inilah juga teras visi dan misi Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang mahukan sebuah negara Malaysia yang bersatu dengan kesefahaman sebagai satu Bangsa Malaysia tanpa menidakkan identiti asal bangsa masing-masing.

Namun begitu, amat malang sekali apabila kita melihat rakyat Malaysia pada hari ini semakin terpecah dan terpisah.

Situasi negara pada hari ini amat membimbangkan dengan pelbagai isu berkaitan agama dan bangsa menjadi penyeri tajuk berita.

Contoh paling mudah adalah berkaitan isu pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian khat yang menjadi tajuk utama berita nasional selama hampir empat minggu.

Pelbagai kenyataan media yang berdolak-dalik dilihat daripada pihak Kementerian Pendidikan dan juga kumpulan pendesak Dong Zong.

Menteri berlembut

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menzahirkan kekesalan di atas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menterinya, Dr Maszlee Malik yang dilihat berlembut dengan isu pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian khat di sekolah.

Keputusan demi keputusan diperkotak-katikkan oleh Dong Zong yang mengeluarkan kenyataan balas yang angkuh.

Kenyataan media terbaru daripada Kementerian Pendidikan merujuk bahawa pembelajaran Jawi hanya dilaksanakan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.

Walaupun pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian khat kini menjadi pembelajaran pilihan dan dikurangkan bilangan muka surat daripada enam kepada hanya tiga muka surat, Dong Zong masih tidak berpuas hati hingga digelar oleh Dr Mahathir sebagai rasis.

Bangunan Dong Jiao Zong di Kajang

Penentangan Dong Zong dibuat sejak berpuluh tahun lamanya. Dr Mahathir pernah memperkenalkan konsep “Sekolah Wawasan” ketika menjadi perdana menteri keempat.

Sekolah Wawasan berkonsepkan penyatuan semua bangsa di mana sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular (SJKC dan SJKT) dibina berdekatan.

Konsep ini membolehkan anak- anak kita bercampur gaul dan berkongsi kemudahan rekreasi bersama-sama seperti padang bola, gelanggang badminton dan gelanggang bola keranjang.

Ketika itu Dong Zong menentang idea ini. Hari ini, Dong Zong juga “menang” isu Jawi walaupun Jawi sebenarnya menjadi pemangkin kepada penyatuan Bangsa Malaysia. Jelaslah bahawa Wawasan 2020 makin tersasar!

Terbaru, pimpinan parti politik Pakatan Harapan (PH) bertelagah berkenaan isu pendakwah bebas Zakir Naik.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang ada mengeluarkan kenyataan yang menyokong saranan supaya pendakwah bebas antarabangsa Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Lim berkata Zakir perlu meninggalkan negara ini kerana didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan negara.

Penghias berita empat minggu

Sekali lagi, isu Zakir Naik menjadi penghias berita nasional selama empat minggu dan turut menjadi isu utama buat pemimpin PH.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia melihat kenyataan Lim ini menggambarkan ketidaksefahaman antara pimpinan tertinggi PH.

Kenyataan Lim keluar setelah Dr Mahathir menyifatkan kedudukan pendakwah tersohor dunia Dr Zakir Naik ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Perbezaan pendapat isu pokok dengan perdana menteri menggambarkan perpecahan yang ketara antara pimpinan PH.

Zakir Naik

Persoalannya, bagaimanakah Wawasan 2020 ingin dicapai jika kerajaan yang memerintah tidak sepakat? Jelaslah bahawa Wawasan 2020 makin tersasar!

Dari sudut ekonomi, antara matlamat Wawasan 2020 adalah untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi serta mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 1990 ialah sekitar RM50 bilion, dengan sasaran kira-kira pertumbuhan pesat yang memerlukan pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7 peratus (dalam nilai sebenar) setahun untuk 30 tahun akan datang.

Hari ini, pertumbuhan purata pada suku pertama 2019 hanya sekadar 4.5 peratus dan suku kedua 2019 sekitar 4.9 peratus.

Hari ini, KDNK negara mencatatkan RM314.5 bilion, berbanding jangkaan asal RM400 bilion.

Mengikut takrifan Bank Dunia pada tahun 2017, negara berpendapatan tinggi adalah negara- negara yang mempunyai pendapatan per kapita AS$12,235 atau lebih.

Pendapatan per kapita adalah purata pendapatan tahunan bagi sesebuah negara.

Ia ditentukan dengan membahagikan jumlah KDNK dengan jumlah penduduk negara berkenaan.

Pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2018, mengikut unjuran Tabung Kewangan Antarabngsa (IMF) ialah AS$11,079.26.

Pertumbuhan lembap KDNK

Pendapatan per kapita ini belum melayakkan Malaysia dikategorikan sebagai negara berpendapatan tinggi.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan pertumbuhan lembap KDNK negara yang hanya sekitar 4.5 peratus, bukannya 7 peratus.

Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa akan susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga pilihan raya umum ke-15 dek kecelaruan yang ditimbulkan oleh pimpinan PH.

Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan PH yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal anak muda terutama berkaitan jati diri Bangsa Malaysia, kemerosotan ekonomi negara dan penindasan rakyat.

Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.

Selamatkan kembali Malaysia!


SHAHIR ADNAN ialah ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap timbalan ketua Pemuda Gagasan Sejahtera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen