malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Latheefa: Jangan sensasikan isu cuti timbalan saya
ADS

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya menggesa media tidak mensensasikan isu melibatkan timbalannya Azam Baki.

Latheefa berkata demikian ketika sekali lagi menjawab soalan berkaitan status Azam yang sedang bercuti sakit.

“Kami sudah katakan bahawa ia tiada isu. Orang yang ambil cuti sakit, bukanlah satu berita (isu).

“Jadi, saya menggesa supaya media henti mensensasikan semua benda yang dilakukan oleh agensi ini. Kita mesti bebas dari politik.

“Jadi apa-apa yang dilakukan oleh SPRM dan perkara yang dalam tugasan kami, henti mempolitikkannya, henti sensasikannya. Biar kami lakukan kerja kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada majlis lafaz dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Menteri Besar Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan perubahan dijangka disaksikan dalam kepimpinan tertinggi SPRM susulan keadaan kesihatan Azam sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi).

Menurut sumber, Azam, 56, dimasukkan ke Hospital Putrajaya bulan lalu.

Latheefa sebelum ini menafikan perubahan dalam SPRM dan berkata Azam dijangka akan menyambung tugasan rasminya pada 22 Ogos.

Jawatan timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) dianggap sebagai yang paling penting dalam SPRM.

Selain mengawasi bahagian siasatan dan risikan, individu itu juga bertanggungjawab ke atas bahagian operasi khas, bahagian mencegah pengubahan wang, bahagian forensik, serta operasi pejabat SPRM negeri.

Sementara itu, ketika sidang media inisiatif pelaksanaan IBR, Latheefa turut menyeru pihak kerajaan negeri Selangor menggalakkan Adun negeri tersebut mengisytiharkan harta mereka sepertimana di peringkat parlimen.

“Ini apa yang SPRM seru kepada pihak kerajaan negeri.

“Jadi terpulang kepada pihak kerajaan negeri,” katanya apabila ditanya sama ada semua Adun di negeri itu telah mengisytiharkan harta mereka.

Amirudin Shari 

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang turut berada di sidang media tersebut bagaimanapun berkata bahawa pihaknya sedia merangka dan membincangkan berhubung perkara itu jika terdapat keperluan seperti yang diamalkan di peringkat parlimen.

“Kita sedia merangka dan membincangkannya. Jika ada keperluan, kita sedia pertimbangkan sepertimana yang diamalkan di Parlimen.

“Sebahagian besar dalam Adun tak terlibat dalam kuasa eksekutif. Sebab itulah keputusan kerajaan negeri hanya mengehadkannya kepada exco yang terdedah kepada kuasa eksekutif yang lebih besar,” katanya.

Menurut SPRM, statistik pada 15 Ogos IBR bagi peringkat negeri Selangor mengikut kategori merupakan, 44 dari jabatan kerajaan, dua dari syarikat swasta, tiga merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua merupakan badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan.

Lihat Komen