malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas pegawai kastam berpangkat 'Datuk' disiasat atas dakwaan seludup
ADS

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang menyiasat seorang bekas pegawai kastam bergelar 'Datuk' disiasat atas tuduhan menyeludup barang yang tidak mendapat kelulusan kastam.

Menurut sumber, pada 1 Julai, sepasukan pegawai kastam bahagian penguatkuasaan Selangor membuat serbuan stor milik sebuah syarikat mengendalikan kontrak pemasangan paip di Telok Gong, Klang.

"Hasil pemeriksaan pegawai kastam menemui sejumlah minuman keras diseludup masuk yang disembunyikan dalam sebuah lori. Apa yang mengejutkan adalah lori tersebut didaftar atas nama sebuah syarikat milik seorang 'Datuk' yang juga bekas pegawai kastam.

"Pihak kastam merampas lori tersebut bersama barang seludupan. Selain itu, dua individu turut dibawa ke pejabat kastam untuk disoal siasat," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Sumber turut memaklumkan bahawa 'Datuk' tersebut mempunyai pengalaman luas dalam bidang menjual dan membeli minuman keras selama hampir 20 tahun.

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah JKDM, Paddy Abdul Halim mengesahkan tangkapan tersebut.

"Tidak diketepikan. Isunya masih dalam siasatan," kata beliau menerusi WhatsApp ketika dihubungi.

Kes itu dikatakan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967 atas kesalahan memiliki, menyimpan dan menyembunyikan barangan dilarang pengimportannya.

Lihat Komen