malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM setuju teliti gesaan turunkan caj PSC di KLIA2
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk meneliti gesaan AirAsia agar caj perkhidmatan penumpang (PSC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) diturunkan.

Jelas Dr Mahathir, adalah tidak adil mengenakan penumpang di KLIA2 kadar cukai sama dengan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kita sedang teliti," katanya pada sidang media ketika mengunjungi ibu pejabat AirAsia di Sepang, hari ini.

Pengasas AirAsia Tony Fernandez sebelum ini menggesa agar kerajaan mengurangkan cukai lapangan terbang yang telah dinaikkan dari RM50 kepada RM73 tahun lalu.

"Jelas ia (AirAsia) akan mengenakan caj penumpang pada kadar rendah. Apabila kenakan cukai lapangan terbang kos tinggi sama dengan lapangan terbang kos rendah, itu tidak adil," kata Dr Mahathir.

Menurutnya, kerajaan sedang mengkaji semula struktur cukai agar semua pihak dikenakan cukai dengan adil.

Sementara itu, Dr Mahathir juga berkata kerajaan akan mengkaji gesaan penangguhan pengutipan bayaran levi perjalanan ke luar negara yang dijadual dilaksanakan mulai 1 September ini.

AirAsia sebelum ini mencabar Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan badan induknya, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) atas tuduhan berhubung PSC di mahkamah tahun lepas.

Dilaporkan hari ini bahawa MAHB dan anak syarikatnya juga telah menyaman AirAsia Bhd dan tiga yang lain atas dakwaan fitnah berhubung tiga artikel dalam talian yang dikaitkan dengan isu PSC.

Tiga artikel oleh AirAsia dimuat naik pada 14 Disember dan 19 Dis, tahun lepas dan 4 Feb tahun ini.

Semasa ditanya mengenai perkara itu, Dr Mahathir berkata beliau berharap kedua-dua pihak menyelesaikan perbezaan pendapat di luar mahkamah.

"Apabila ada perbezaan dan mereka tidak dapat menyelesaikannya di luar mahkamah, biasanya mereka pergi ke mahkamah, tetapi saya lebih suka penyelesaian di luar mahkamah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen