malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jawi: Kenapa kami pula kena tentukan, soal wakil PIBG
ADS

Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah vernakular membangkitkan beberapa isu yang tidak jelas berhubung keputusan kerajaan menyerahkan soal pembelajaran tulisan Jawi kepada mereka.

Bagi Yang di-Pertua (YDP) PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Paya Rumput Melaka, K Vishvam, beliau hairan dengan keputusan itu memandangkan PIBG tidak boleh mencampuri urusan sekolah.

“Tiba-tiba PIBG pula yang kena tentukan, sama ada mahu teruskan atau tidak. Kita pun faham, kalau dalam buku teks tu dah ada bab ini, sebagai cikgu, mereka kena ajar.

“Jadi kenapa PIBG pula yang tiba-tiba nak masuk campur urusan ini? PIBG tak sepatutnya masuk campur urusan sekolah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kata Vishvam, persetujuan PIBG yang dimaksudkan kerajaan dalam pengumuman semalam juga tidak dinyatakan dengan jelas.

“Tiada arahan. Kena buat mesyuarat ke, atau macam mana? Nak ambil persetujuan daripada siapa?

“Kalau (terserah) kepada PIBG punya keputusan, saya boleh bagitahu, anggaran saya, tiada yang akan setuju (untuk teruskan). Di SJKT dan SJKC, saya percaya 99 peratus akan tolak (untuk laksanakan).

“Bukan tulisan Jawi itu yang salah, tapi cara mereka hendak laksanakan, orang ramai tak dididik dengan betul-betul (berhubung pelaksanaannya). Akhirnya, jadilah apa yang jadi sekarang,” katanya lagi.

Semalam mesyuarat kabinet memutuskan pengenalan pengenalan tulisan Jawi bagi murid Darjah 4 di semua sekolah akan diteruskan.

Bagaimanapun bagi sekolah vernakular, pengajarannya hanya akan dilaksanakan jika ia dipersetujui PIBG, ibu bapa dan murid.

Tiada arahan jelas daripada kementerian

Sementara itu, seorang YDP PIBG dari sebuah SJKC di Kajang yang tak mahu dinamakan memberitahu, beliau akan melihat pendekatan sekolah lain memandangkan tiada arahan jelas berhubung keputusan tersebut.

“Semalam berita baru keluar, jadi saya pun belum sempat berbincang dengan pihak sekolah mengenai perkara inin. PIBG terdiri daripada semua ibu bapa dan Guru-guru. Maka pandangan daripada semua pihak perlu diambil kira.

“Kami akan memantau pihak PIBG sekolah lain buat macam mana, kerana tak ada arahan yang jelas daripada kementerian, hanya cakap persetujuan PIBG saja.

“Adakah perlu mesyuarat EGM, (perlu) ada minit mesyarat, atau hanya mesyarat dalaman saja? Jadi kena tunggulah nanti. Tengok macam mana,” katanya lagi.

Bagi Timbalan YDP PIBG SJKT Serdang, Dr M Vigneswaran pula, pengumuman semalam menyebabkan perbincangan harus dilakukan di kalangan ibu bapa.

“Pastilah kena minta pendapat ibu bapa. Kalau ini polisi, kena terus laksanakan, tak boleh buat apa.

“(Tapi memandangkan) dia suruh kita pula tentukan, kita kenalah minta pendapat daripada ibu bapa. (Kalau) ibu bapa cakap tak hendak, kita tak boleh buat apa-apa. Kita ini wakil sahaja kepada ibu bapa. Kita bukan diktator,” katanya kepada Malaysiakini.

Bulan lalu, rancangan memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia darjah empat, termasuk untuk sekolah vernakular berdepan bangkangan sengit daripada kumpulan pendidikan Cina dan Tamil serta pemimpin akar umbi DAP.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 3 Ogos mengumumkan pelaksanaan pengenalan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Bagaimanapun keputusan itu tetap dibantah, antaranya Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang melancarkan petisyen untuk menggesa ia dibatalkan, sehinggalah kerajaan mengumumkan keputusan terbaru semalam. 

Lihat Komen