Pengiklanan

    'Tetamu lama Cina': Meleraikan dakwaan 'putar belit' kenyataan Zakir Naik

    (Dikemaskini )

    Sejumlah pihak mendakwa media, terutama Malaysiakini, sebagai "salah petik", "memutar belit" dan "mengambil di luar konteks" kenyataan pendakwah Zakir Naik ketika menyampaikan syarahan minggu lalu, berkenaan masyarakat Cina di Malaysia.

    Antaranya ialah Setiausaha Agung Umno Annuar Musa yang berkata beliau ada ketika Zakir menyampaikan syarahan itu dan kata-katanya telah diputar belit.

    Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan pembantu Zakir, Zamri Vinoth, juga menyuarakan nada serupa, dengan Zamri mendakwa satu portal yang tidak dinamakannya sebagai mengambil luar konteks dan ada yang "tambah" kenyataan Zakir.

    Malaysiakini melihat kembali isu tersebut untuk memberikan gambaran yang lebih jelas.

    Bagaimana laporan berkenaan kenyataan Zakir timbul?

    Malaysiakini pada mulanya membuat semakan terhadap dakwaan Zakir bahawa kenyataannya berhubung masyarakat beragama Hindu di Malaysia telah diambil di luar konteks.

    Untuk itu, Malaysiakini melihat semula rakaman langsung syarahan Zakir di Kelantan pada 8 Ogos, menerusi Kelantan TV, di Facebook dan juga Youtube.

    Ketika inilah kenyataannya berkenaan masyarakat Cina di Malaysia ditemui.

    Apa yang dikatakan Zakir Naik?

    Zakir bercakap tentang bagaimana Islam disebarkan secara aman di kepulauan Melayu melalui pedagang.

    Beliau mengambil maklum bahawa melalui cara itu "Malaysia menjadi Muslim sepenuhnya".

    Berikut ialah kenyataannya. Bahagian yang ditebalkan merupakan kenyataan Zakir yang dipetik Malaysiakini semalam.

    "Askar Muslim mana yang ke Indonesia yang merupakan negara Muslim terbesar di dunia? Askar Muslim mana yang ke Malaysia?

    "Askar Muslim mana yang ke pantai timur Afrika? Di mana banyak negara, penduduk majoriti ialah Muslim. Pedang mana? They did by the class. Pedagang yang datang.

    "Askar mana yang ke Malaysia? Askar mana yang ke Indonesia? Kebanyakannya (penduduk ketika itu) bukan Islam, kemudian kebanyakannya menjadi Muslim, MasyaAllah.

    "Dan kemudian, lebih ramai yang datang selepas itu.

     “Malaysia menjadi Muslim sepenuhnya. Kemudian Cina datang, India datang, orang Inggeris (British) datang. Mereka adalah tetamu baru kita.

    “Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.

    “Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini).

    “Jika kamu mahu tetamu itu pulang, dan tetamu lain yang membawa keamanan dalam sesuatu komuniti tersebut, mereka (tetamu itu) membawa manfaat kepada keluarga itu."

    Selepas itu, Zakir meneruskan syarahannya berkenaan bagaimana Islam tidak disebarkan melalui pedang secara literal, tetapi melalui pedang "intelek, kasih sayang, hujah dan ihsan."

    Mengapa Malaysiakini tidak melaporkan apa yang diperkatakannya sebelum dan selepas kenyataannya berkenaan masyarakat Cina?

    Malaysiakini melaporkannya.

    Di perenggan ketiga laporan, dinyatakan: Zakir membuat kenyataan mengenai kaum Cina di Malaysia itu apabila bercerita tentang bagaimana agama Islam tersebar dengan aman di sekitar daerahnya melalui pedagang.

    Begitu juga di perenggan ketujuh, dinyatakan selepas petikan terakhir yang Zakir "kembali ke topik tentang Islam 'disebarkan dengan mata pedang'.”

    Malaysiakini tidak menyertakan petikan kata-kata berkenaan perkara itu, kerana kata-kata itu - atau tanpanya - tidak menjejaskan kenyataan Zakir berkenaan masyarakat Cina Malaysia.

    Jadi adakah Malaysiakini salah lapor, salah petik, putar belit atau mengambil kenyataan Zakir di luar konteks?

    Tidak.

    Malaysiakini juga maklum bahawa Zakir tidak menafikan kata-katanya berkenaan perkara itu.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih