malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: KDNK Sabah turun akibat salah guna kuasa pentadbiran lepas
ADS

Penurunan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah sebanyak 6.7 peratus dalam masa kurang setahun adalah warisan daripada kerajaan sebelum ini.

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Darell Leiking berkata perkara itu berlaku kerana salah guna kuasa melibatkan BN.

“Mereka (pentadbiran lepas) menyalahgunakan kuasa mereka. Inilah akibatnya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sidang kemuncak Aerospace Malaysia 2019 di Menara MITI, hari ini.

Darell berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Pemuda Umno Sabah Aziz Julkarnain seperti dilaporkan FMT yang menuduh bahawa Ketua Menteri Shafie Apdal dan kerajaan negeri pimpinan Warisan merosakkan ekonomi Sabah susulan penurunan KDNK dalam tempoh kurang setahun.

Aziz mengulas Laporan Sosioekonomi Negeri 2018 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan akhir bulan lepas.

Menurut Aziz, Pada 2017, Sabah mencatatkan pertumbuhan KDNK tertinggi di negara ini pada kadar 8.2 peratus di bawah kerajaan BN yang diketuai Musa Aman.

Darell yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata setiap kali kementeriannya mengumumkan berita positif, sesetengah pihak mendakwa ia adalah hasil kerja kerajaan lepas.

“Jadi dalam kes ini, jika dia menuduh kerajaan Warisan sebagai punca kemerosotan KDNK negeri Sabah, maka mudah bagi saya untuk berkata bahawa ia juga berpunca daripada pentadbiran sebelum ini,” katanya.

Darell turut mempertahankan Shafie dan berkata ketua menteri itu telah berusaha membawa masuk beberapa bakal pelabur dan mencapai kemajuan dengan perkhidmatan awam.

“Beliau berbuat sebaik mungkin walaupun berdepan banyak cabaran,” katanya.

Lihat Komen