Pengiklanan

    Kelulusan GLC beli saham Dream Edge dibuat k’jaan BN, kata menteri

    (Dikemaskini )

    Kelulusan sebuah agensi kerajaan untuk membeli saham dalam Dream Edge Sdn Bhd yang akan menjadi syarikat peneraju yang bertanggungjawab membangunkan kereta nasional ketiga dibuat pada tahun 2017, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

    Menurutnya, kelulusan itu dibuat bukan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara ini.

    Katanya, Venturetech Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai A-BioSdn Bhd yang dimiliki oleh Kumpulan Industri – Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (Might) dilaporkan membuat pelaburan dan membeli saham kira-kira 10 peratus dalam Dream Edge pada 2017.

    “Ketika itu Pakatan Harapan bukan kerajaan. Tapi ada perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu membenarkan Might dan anak syarikatnya masuk ke dalam Dream Edge pada 2017,” katanya selepas merasmikan sidang kemuncak Aerospace Malaysia 2019 di Menara MITI, hari ini.

    Darell berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bukan dirinya yang meluluskan Dream Edge Sdn Bhd menjadi syarikat utama untuk membangunkan projek kereta nasional ketiga.

    Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan presiden MCA Wee Ka Siong bahawa kerajaan menipu tentang tidak melibatkan dana awam dalam projek itu.

    Menurut Wee, 53 peratus daripada saham Dream Edge dimiliki oleh VentureTech Sdn Bhd, yang seterusnya dimiliki oleh sebuah syarikat kerajaan.

    Ia diikuti pengesahan oleh Dream Edge bahawa kerajaan telah melabur dalam syarikat tersebut.

    Mengulas perkara itu, Darell berkata Wee membuat dakwaan tanpa mengetahui keseluruhan cerita.

    “Saya simpati dengan dia. Tapi dia belajar menjadi pembangkang yang baik,” katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih