malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jakim siasat kenyataan 'sediakan parang sembelihan untuk kafir'
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 10:27 AM
Dikemaskini: 2:27 AM
ADS

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyisat kiriman Facebook pengguna media sosial yang juga dikatakan merupakan kakitangan jabatan itu yang mengingatkan agar orang Islam "menyediakan parang sembelihan" untuk orang bukan Islam.

Tangkap layar kenyataan media sosial yang tular itu berbunyi: "Orang Islam kena ada parang sembelihan. Untuk persiapan. Mana tahu si kafir nak jadi macam lembu korban".

Semakan di laman web Jakim mendapati seorang individu dengan nama yang sama dengan pengguna media sosial itu disenaraikan sebagai penolong pengarah salah satu unit penerbitannya.

FMT memetik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang berkata bahawa beliau maklum dengan kenyataan tular berkenaan.

"Jakim sedang bertindak (berhubung perkara itu)," kata Fuziah seperti dilapor.

Laporan FMT turut menyatakan bahawa individu berkenaan turut berkongsi gambar pendakwa kontroversi Zakir Naik berjumpa menteri besar Terengganu pada program kontroversi pendakwah itu di Pantai Timur baru-baru ini.

Malaysiakini sedang menghubungi Jakim dan polis untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin turut berkongsi tangkap layar kenyataan berkenaan mengingatkan bahawa bukanlah sesuatu yang asing dalam ajaran Islam untuk seorang muslim mempertahankan hak orang bukan Islam.

"Tahukah sahabat kita ini bahawa in Morrocco, seorang ulama sufi terkemuka Sidi Ahmad Zarruq diusir ke Libya kerana mempertahankan hak orang Yahudi terhadap kerajaan Islam. Muslim mempertahankan hak orang bukan Islam bukan sesuatu yang asing kecuali kita orang Islam tidak pernah peduli untuk tahu sejarah kita.

"Dan di Algeria, bekas pejuang Islam yang lawan penjajahan Perancis yang kemudian dipenjara di Perancis dan dibuang negara ke Syria kemudiannya telah membantu orang orang Kristian yang diserang oleh muslims di Syria. Nama pejuang itu Sheikh Amir Abdul Qadir Al Jazairi, juga seorang ahli sufi," katanya.

Perkembangan itu hadir ketika kenyataan Zakir dalam ceramahnya di Kelantan minggu lalu sebagai menjadi perdebatan hangat.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012, menyifatkan rakyat Malaysia dari kaum Cina sebagai "tetamu lama" di Malaysia, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.

Zakir berkata demikian sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.

“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.

Lihat Komen