malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perlis bantu bina rumah baru untuk mangsa ribut
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 10:03 AM
Dikemaskini: 2:03 AM
ADS

Kerajaan Perlis akan membina rumah baru berharga RM30,000 untuk mangsa dilanda ribut pada Jumaat lepas, kata Menteri Besar Azlan Man.

"Bagi setiap rumah yang ranap, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) akan menyumbang RM25,000 manakala kerajaan negeri menambah RM5,000 bagi menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000," katanya pada majlis penyerahan bantuan awal mangsa ribut di Dewan 2020 di Kangar malam tadi.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula akan memberi bantuan maksimum RM5,000 kepada setiap mangsa bencana itu.

Azlan berkata bantuan itu akan diselaraskan dan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Yusof, dan Ketua Pegawai Eksekutif Maips, Mohd Nazim Mohd Noor.

Bantuan awal yang disampaikan Azlan pada majlis itu berjumlah keseluruhan kira-kira RM400,000 melibatkan 1,079 mangsa, termasuk peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa.

Mengikut rekod JKM, ​​ribut yang membadai pada Jumaat lepas merosakkan 567 rumah dalam kawasan Parlimen Kangar, 270 buah di kawasan parlimen Padang Besar dan 242 buah lagi di Arau.

- Bernama

Lihat Komen