malaysiakini logo
story-image
ADS

PULASAN | Setiap hari - lima kali seminggu - susuk itu kelihatan berjalan dengan agak susah. Badannya yang besar, rambutnya yang unik itu disikat kemas ke tepi. Perutnya yang menojol itu membuatkan dia kelihatan agak bergelut untuk ke sana dan ke sini.

Apa lagi kalau dia perlu ke kelas di tingkat atas bangunan dua tingkat itu. Melihat dia memijak satu demi satu anak tangga dari kaki lima di tingkat bawah bukanlah sesuatu yang enak.

Tetapi hampir saja tidak ada sesiapa yang ambil peduli tentang susuk guru Cina itu. Kecuali senaskhah akhbar yang sesekali dipegang pada salah satu tangannya.

Ia adalah akhbar Utusan Melayu.

Ketika sesetengah pelajar Melayu sendiri merangkak-rangkak membaca Jawi, Mr Lee menjadi pelanggan tetap akhbar harian Utusan Melayu. Sesekali pada waktu senggang di dalam kelas, dia akan menyelak-nyelak akhbar berkenaan. Selebihnya dia membaca di bilik guru.

Dan ia berlaku ketika semua pelajar sekolah sesi petang itu tidak dipengaruhi oleh latar kaum dan agama yang berbeza. Sesekali dan sedikit sebanyak ada perseteruan, itu biasalah. Budak-budak mencari tapak untuk dewasa memang begitu.

Tetapi secara umumnya, semua bangsa bersekolah dengan tekun di situ.

Semua masalah boleh selesai

Dibina dalam bentuk seperti ladam atau U terbalik, ada beberapa salib berdiri megah pada bangunan Sekolah Menengah St Anthony di Teluk Intan itu. Namun setakat yang diketahui, belumlah ada sesiapa pun anak Melayu yang menjadi Kristian hanya kerana salib-salib itu.

Dan tidak ada sesiapa yang berasa imannya rapuh atau mencair dengan melihat salib tersebut.

Malah pada 1980-an itu, salah seorang tenaga pengajarnya ialah anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang disegani kerana keranggiannya bersyarah, berceramah dan berkuliah.

Pengaruh PAS menular agak ketara di situ. Ada benih-benih kesedaran tentang Islam ditanam secara tidak langsung dalam kalangan pelajarnya.

Dari semasa ke semasa mereka diyakinkan bahawa segala masalah yang ada dalam dunia ini boleh diselesaikan jika berpegang kepada Islam. Pedulilah sama ada ia masalah ekonomi, sosial dan - sudah tentu - politik, jawapannya ada pada Islam.

Dengan syarat ia diterima secara "kaaffah".

Tidak berbangkit sama sekali isu mencurigai tulisan Jawi. Mr Lee itu adalah salah satu contoh bagaimana aksara-aksara yang indah itu sekadar wadah untuk menyampaikan sesuatu wacana.

Ia tidak semestinya tentang Islam. Pernah suatu ketika - kerana nilai komersial tulisan Jawi itu - huruf-huruf yang ditakuti sesetengah orang pada hari ini digunakan dalam iklan minuman keras.

Dalam bidang siasah pula, hasil penerangan dan dakwah yang dilakukan secara berterusan, PAS berjaya membuat orang bukan Melayu dan bukan Islam terbuka luas kepada Jawi.

Beberapa pemimpin politik malah memetik ayat al-Quran semasa berceramah mengajak orang ramai melawan "parti perkauman" bernama BN. Beberapa tahun kemudian orang Cina berseluar pendek tidak teragak-agak menjulang bendera bulan mengambang itu.

Pada salah satu acara himpunan politik, gambar seorang lelaki tua berbangsa Cina dikecam berjemaah oleh penyokong BN kerana kononnya "menghina Islam" hanya kerana dia melilit kepalanya dengan kain bertulisan Jawi.

Sejak dulu hingga kiamat

Yang mengecam dan menyindir itu, orang Melayu. Yang berasa Cina tua itu menghina Allah, beragama Islam. Cuma Melayu yang mengecam itu tidak tahu bahawa tulisan pada dahi lelaki Cina terbabit bukanlah ayat al-Quran, sebaliknya cuma susunan huruf-huruf Jawi yang membentuk ungkapan "Parti Islam Semalaysia."

Tidak ada sakralnya ungkapan itu sehingga ia tercemar dililitkan pada kepala orang Cina.

Hari ini, sudah jarang kedengaran ayat-ayat doktrinisasi bahawa Islam itu penyelesai segala masalah. Pun begitu, bagi kebanyakan orang Islam, mereka tetap "yakin dan percaya" Islam mampu menjawab setiap kemelut yang melanda manusia dari zaman Adam hingga kiamat.

Percaya begitu sajalah.

Apabila bara perkauman ditiup dengan gigih oleh sesetengah pihak dan ketika akal yang waras berkata, ia wajar didinginkan, pihak yang mendakwa bergerak atas dasar Islam itu pula nampak mengipas-ngipas bahang berkenaan agar tetap memerah.

Kemudian hati pun berdetik: benarkah Islam mampu merungkai segala masalah manusia? Adakah sudah "kaafah" semuanya?

Dalam al-Quran Allah ada berfirman (bermaksud): “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (al-Hujurat: 13).

Tidak nampak dengan jelas ada orang Melayu yang menjadi pejuang Islam cuba saling kenal-mengenal dengan bangsa-bangsa lain. Yang ada, masing-masing mahu menegakkan hujah bahawa dia adalah bangsa yang lebih mulia berbanding bangsa lain. Justeru orang yang bukan dalam golongan mereka wajib tunduk secara total.

Selepas beberapa ketika, curiga dan kebencian pada kaum yang berbeza tidak dapat dikendurkan waima oleh orang yang berjuang "demi Islam" yang menjanjikan jawapan kepada setiap persoalan itu.

Lebih daripada itu, sesama bangsa dan seagama pun dikeji dan dikafirkan hanya kerana dia tidak bersama dengan parti yang satu itu. Mungkinkah itu "jawapan" daripada Islam untuk persoalan berbeza parti politik?

Pada banyak keadaan tidak dinampakkan Islam memang ada dan mampu menangani isu perkauman. Yang ada, kebencian dibalas dengan kebencian atas nama "Islam" dan bangsa.

Ramah dan rahmat

Mana mungkin Islam menguruskan kebencian kaum dengan menyalakan kebencian yang sama. Ketika orang ramai tercari-cari jawapan paling tuntas untuk menyelamatkan negara, Islam yang dipamerkan oleh seseorang Muslim sebaliknya memarakkan semangat kebangsaan.

Mereka mengajak orang Melayu bersatu mendepani "bangsa asing".

Tidaklah aneh jika bangsa bukan Islam itu bersikap perkauman kerana mereka bukan Islam. Agama yang dibawa Muhammad SAW itu penuh dengan kasih sayang, rahmat dan ramah. 

Ia adalah jawapan kepada sikap keras, gamang dan permusuhan dibawa oleh mereka yang tidak meyakini akan kalimah syahadah.

Gambar arkib

Tetapi "Islam" yang dipamerkan oleh pejuang itu sebaliknya gigih berlumba-lumba mahu menunjukkan bahawa mereka juga mampu bersikap rasis. Malah, pada ketika tertentu, mereka mahu membuktikan rasisnya Melayu Islam itu jauh lebih hebat berbanding rasisnya orang bukan Melayu.

Sifat Muslim itu sepatutnya merahmati dan menyayangi sesama Islam atas dasar keimanan dan tauhid yang sama, iaitu tunduk secara "kaaffah" kepada Allah.

Pada masa sama, semuanya harus bersetuju bahawa tiada toleransi kepada maksiat dan kejahatan. Cuma kejahilan itu bukanlah kejahatan yang semuanya harus dijawab dengan caci-maki atau kebencian.

Perlu diingat, kejahilan juga memungkinkan mata seseorang menjadi kabur - kalau pun tidak buta. Gagal membezakan buku atau kitab dengan rehal, misalnya.


Baca Cekapnya Nik Aziz mencerap orang


Adalah wajar bersikap tegas kepada orang bukan Islam yang memusuhi Islam atau memerangi umat Islam tetapi haruslah ia berlaku ketika kefahaman yang jernih diberikan.

Silap besar apabila seseorang Muslim berasakan hidupnya adalah mudah dan istimewa hanya kerana dia mengucap dua kalimah syahadah. Bahkan kalimah itulah yang sepatutnya menjadikan dia memikul beban tanggungjawab yang lebih berat berbanding orang lain.

Selamanya kita gagal memahami makna "istimewa" menjadi orang Islam. Selama berkurun kita ditanamkan kefahaman bahawa menjadi Muslim itu bermakna semuanya bebas dilakukan, waima menjadi rasis, kerana akhirnya kelak kita akan dimasukkan ke syurga.

Istilah "tabayyun" diperkenalkan hanya untuk mengabsahkan langkah politik sesetengah orang. Lebih celaka, begitu ramai yang terpedaya. Berapa ramai yang gagal membezakan di antara portal Malaysia Today dengan Free Malaysia Today, misalnya.

Dalam keadaan begitu, sukar melihat bahawa Islam menawarkan penyelesaian dan jawapan kepada masalah umat manusia.

Isu mengenai Jawi pun kita jenuh bersilat dan ghairah mahu mengasah parang, bagaimana agaknya "Islam" yang difahami itu mampu mengatasi kemelut yang lebih rumit seperti hubungan antara kaum.

Adakah Islam tiada jawapan? Sudah tentu ada. Cuma ia masih gagal diterjemahkan oleh kerana kepala yang berserabut dan hati yang dengki.

Jawapan itu tidak akan dapat diperolehi daripada orang yang menunggang agama.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang cuma pandai menunggang motosikal kapcai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen