malaysiakini logo
story-image
ADS

KATA MP | Pada 25 Julai, muka depan akhbar Sin Chew Daily melaporkan bagaimana kononnya sukatan pelajaran darjah empat pada tahun depan akan mengandungi enam muka surat pengenalan tentang tulisan Jawi.

Dengan demikian, DAP pun mendepani krisis terburuknya sejak PH mengambil alih kuasa pada Mei 2018. Ia juga tidak dinafikan merupakan salah satu krisis yang paling serius dihadapi DAP sepanjang sejarah 53 tahun penubuhan parti.

Apa yang menyusul kemudian ialah siri luahan emosi yang disemarakkan dengan begitu sedikit fakta - kebanyakannya diputar-belit. Ini sememangnya sesuatu yang menyedarkan.

Kita sekarang mentadbir dalam era pascakebenaran yang begitu mencabar, dan pada masa sama memikul tanggungjawab negara untuk memperkukuh sebuah kerajaan yang berbilang etnik dan berbilang parti.

Saya ingin menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada pemimpin akar umbi DAP di Johor. Anda semua mendepani begitu banyak dugaan. Ketika orang ramai menyerang DAP, anda terpaksa menanganinya secara berdepan di kedai-kedai kopi di kejiranan masing-masing.

Bukannya kita tidak pernah berdepan keadaan sebegini dulu. Pada 2014 - 'terima kasih’ kepada Sin Chew Daily dan Utusan Malaysia - DAP dituduh akhbar Sin Chew sebagai pengecut kerana tidak berani menyatakan pendirian terhadap PAS (ketika itu menjadi sekutu Pakatan Rakyat) apabila PAS dan Umno berpentas tentang persoalan hudud.

Di sisi satu lagi, Utusan pula menyerang DAP kononnya bersifat antagonis terhadap Islam.

Bagai menelan semua orang

Kemudian pada 2016, sekali lagi - dengan isu yang digembar-gemburkan oleh Sin Chew Daily - akar umbi DAP dihina apabila parti itu berpadu tenaga dengan Dr Mahathir Mohamad. Pada masa sama, dalam lingkungan pembaca Utusan, penyokong Mahathir dijadikan mainan kerana bekerjasama dengan DAP.

Ketika krisis-krisis tersebut, pemimpin DAP Johor di setiap peringkat kekal bersatu dan kami turun ke setiap pekan kecil di negeri itu untuk bercakap di forum-forum kedai kopi menjelaskan kepada penyokong tentang keputusan sukar yang mesti kita buat.

Ribut perkauman yang dicipta oleh akhbar dan media sosial memang sukar ditangani. Krisis ini, misalnya, seakan menelan semua orang sehinggakan jika sesiapa berani menghadirkan sudut pandang berbeza, orang itu akan digelar pengkhianat kepada perjuangan kaumnya.

Semuanya diwarnakan hitam dan putih. Selebihnya dihukum sebagai pengkhianat. 

Dalam hal ini, adakah Mahathir atau Lim Kit Siang dikira sebagai petualang?

Media massa bebas sepenuhnya sejak perubahan kerajaan pada 2018. Kerajaan baru tidak campur tangan dalam operasi harian media walaupun kebanyakan saluran yang ada dimiliki oleh kroni-kroni kerajaan terdahulu.

Jadi kita kita sudah ada Fox News versi sendiri, di medan orang Melayu dan juga bukan Melayu. Fox News di AS memainkan peranan untuk menetapkan agenda dan sudut pandang. Pempengaruh media sosial pro-Trump dan tentera siber kemudian menari mengikut rentak yang ditetapkan.

Mereka juga membawa rentak itu ke ruang siber melalui aplikasi peer-to-peer seperti WhatsApp. Ilusi persetujuan - seperti ruang gema - justeru diwujudkan.

Dalam senario Malaysia, di medan bukan Melayu kerajaan PH diprojekkan sebagai sedang dikawal dengan kuku besi Mahathir. Beliau dibingkaikan sebagai musuh utama. Semuanya berpunca daripada Mahathir. Ini semua didakwa sebagai kerajaan ketuanan Melayu.

Di medan orang Melayu pula, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dibingkaikan sebagai musuh negara paling utama. Semua yang berlaku dalam kerajaan adalah berpunca daripada kehendak mereka.

Kerajaan ini digambarkan sebagai kerajaan Cina atau kerajaan Kristian.

Agar semua selamat sejahtera

Kedua-dua persepsi tersebut pastinya salah. Namun dalam sebuah dunia pascakebenaran, persepsi-persepsi itu diperkukuhkan sebagai kebenaran sehinggakan pemimpin politik di pelbagai peringkat dipaksa untuk mengambil pendirian yang sama, atau sekurang-kurangnya memberi reaksi positif. Sepanjang proses itu berlangsung, negara pun diletakkan pada ambang kehancuran.

Hakikatnya ialah, kerajaan PH adalah sebuah kerajaan gabungan. Tiada parti mempunyai kuasa mutlak. Banyak hal mesti dibawa ke peringkat jemaah menteri dan Majlis Presiden PH untuk kelulusan. Dan memang begitulah sepatutnya.

Kerajaan gabungan ini tentunya sukar sekali mahu diuruskan. Mahathir dan Anwar Ibrahim pernah menjadi musuh ketat selama 20 tahun. Mahathir dan DAP pula sudah bermusuh untuk tempoh yang lebih lama.

Kita semua dalam PH perlu komited untuk terus memperkukuhkan gabungan ini dan memastikan masyarakat berbilang kaum selamat dan sejahtera.

Kita akan harus melakukan segala yang mungkin untuk memulihkan situasi pascakebenaran ini: iaitu Mahathir dilabel sebagai musuh utama orang bukan Melayu, dan Lim Kit Siang adalah musuh utama orang Melayu.

Gambar arkib

Saya menyeru anggota DAP untuk terus memperkukuhkan PH. Cakap-cakap untuk meminta DAP keluar dari PH hanya akan menjahanamkan segala buah demokrasi yang telah dikecapi pada 9 Mei 2018, serta membuka ruang kepada Umno dan PAS untuk memerintah.

Dalam krisis tulisan Jawi ini, semua pihak berhak menyatakan pendapat masing-masing tentang apa yang perlu dilakukan oleh Kementerian Pendidikan. Saya hormati hak itu.

Saya cuma ada dua permintaan. Pertama, setiap kali kita berbincang, berbincanglah berdasarkan fakta, bukan auta. Sebuah negara yang berwacana berasaskan auta akan berdepan bencana.

Kedua, apa pun pandangan seseorang, ia tidak boleh berasaskan fobia terhadap tulisan Jawi. Kita tidak mahu kewujudan Jawifobia atau fobia terhadap tulisan Cina atau Tamilfobia di Malaysia.

Ada beberapa fakta asas untuk dipertimbangkan.

Pertama sekali, Jawi bukanlah satu bahasa baru (akhbar Cina menterjemah Jawi sebagai wen, iaitu suatu terma yang selalunya merujuk kepada sebuah bahasa, yang menyebabkan ramai ibu bapa Cina memberi reaksi terkejut selepas membaca laporan Sin Chew kerana mereka menganggap anak-anak mereka akan dibebankan dengan suatu bahasa yang baru). Jawi cumalah suatu sistem abjad, seperti ABC.

Kedua, Jawi tidak ada kena mengena dengan agama dan tidak kait-mengait dengan Islamisasi. Jawi bukanlah bahasa Arab, dan sepertimana menulis bahasa Melayu dalam abjad Rumi tidak menjadikan sesorang cekap dalam bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa Barat.

Menggunakan Jawi tidak mengajar seseorang memahami bahasa Arab. Sudah terlalu banyak kekeliruan tentang pembelajaran Jawi kononnya ia membuka gerbang limpah ke arah Islamisasi.

Ketiga, mungkin Kementerian Pendidikan harus bersikap lebih konsultatif, namun idea keseluruhan cadangan ini ialah untuk memperkenalkan sejarah dan menjadikan Jawi sebagai sebahagian daripada keriangan pembelajaran supaya murid-murid mengetahui tentang sistem fonetik yang digunakan sebelum Rumi.

Ia dahulunya melibatkan hanya enam muka surat, kini dikurangkan menjadi tiga sahaja.

Sebagai penutup, marilah kita kekal bersatu sebagai sebuah pasukan yang kuat. Kita di DAP Johor telah melalui pelbagai rintangan sebelum 2018.

Ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Saya tahu bagaimana anda semua menderita sejak beberapa minggu lalu ketika krisis ini bermula, malah sejak mula menyesuaikan diri menjadi kerajaan.

Hakikatnya, kita sedang mentadbir dalam sebuah persekitaran pascakebenaran, dan kita percayakan impian Malaysia harus lebih ke depan bagi memastikan tiada konfrontasi kaum berlaku.

Mandat yang telah diberikan kepada kita ialah untuk mentadbir dalam sebuah kerajaan gabungan bagi menjamin demokrasi untuk seluruh rakyat Malaysia dari segenap latar dan lapis masyarakat.


LIEW CHIN TONG ialah anggota Dewan Negara, Timbalan Menteri Pertahanan dan penerusi DAP Johor. Rencana ini asalnya ucapan Liew yang disampaikan ketika bertemu pemimpin dan anggota akar umbi DAP di Stulang, Pekan Nanas, Kulai dan Simpang Renggam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen