Pengiklanan

    Himpunan anti-Lynas Ahad ini nak bakar manifesto PH - Penganjur

    (Dikemaskini )

    Himpunan anti-Lynas pada Ahad ini dijangka berakhir dengan membakar manifesto Pakatan Harapan bagi melambangkan dakwaan kerajaan gagal menunaikan janjinya ke arah pembangunan yang mampan.

    Menurut penganjur bantahan, Tan Boon Teet, jika Lynas dibenarkan beroperasi di negara ini maka PH telah melanggar janji nombor 39 dalam manifestonya yang mana pakatan itu berikrar mentadbir negara berlandaskan prinsip kemampanan.

    "Sekiranya mereka membiarkan Lynas terus beroperasi, adakah ia akan mampan?

    "[...] Kami mahu membakar seluruh manifesto hanya untuk mengingatkan kerajaan dengan mengatakan lihat jika manifesto ini tiada nilainya, buat apa lagi perlu menyimpannya?

    "(Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad berkata manifesto bukanlah kitab suci maksudnya mereka (PH) tidak berhasrat untuk melaksanakan apa yang mereka janji dan kami telah ditipu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

    Menurut Tan, pada penghujung himpunan Ahad ini, peserta akan diberikan kertas daripada manifesto PH yang akan dicampak ke dalam api.

    "Harapan rakyat berkecai, (gimik bantahan) ini (menunjukkan) kemarahan dan kekecewaan mereka," kata Tan lagi.

    Perhimpunan itu bertujuan membantah tindakan kerajaan membuat keputusan pusingan U untuk menggugurkan syarat Lynas menghantar sisa radioaktifnya - yang dihasilkan sebahagian daripada operasi pemprosesan nadir bumi - keluar dari Malaysia.

    Sumber mengatakan Putrajaya bersedia memperluaskan lesen kilang Lynas di Gebeng, Kuantan apabila permit sedia ada tamat pada September.

    Pengkritik telah menyuarakan keprihatinan mengenai potensi kesan buruk sisa radioaktif terhadap kesihatan masyarakat setempat.

    Perhimpunan itu, yang digelar "818" bersempena tarikhnya berlangsuang akan diadakan di Taman Taman Gelora di Kuantan.

    Ia dijadualkan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir pada 10:30 pagi.

    Tan menganggarkan kehadiran orang ramai antara 1,000 hingga 2,000 orang, dengan sebahagian besar mereka akan datang dari luar Kuantan.

    Antara ahli politik yang harapkan Tan hadir di perhimpunan itu ialah wakil rakyat PKR Lee Chean Chung (Semambu) dan Sim Chon Siang (Teruntum).

    MP Bentong DAP Wong Tack, yang sudah lama bersikap kritikal terhadap Lynas, juga dijangka akan hadir.

    Bagaimanapun, timbalan menteri dan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, seorang lagi pengkritik lantang Lynas memberitahu Malaysiakini beliau tidak dapat hadir kerana akan melakukan perjalanan pulang daripada menunaikan ibadah haji di Makkah ke Malaysia pada hari Ahad ini.

    Tan berkata penganjur perhimpunan sudah mendapat permit daripada polis untuk demonstrasi itu.

    Ketika melakukan dua lawatan rasmi ke Jepun sebelum ini, satu pada bulan Mei dan satu lagi awal bulan ini, Mahathir memberi jaminan Lynas akan terus beroperasi di Malaysia.

    Jepun ialah pembeli utama bahan-bahan produk nadir bumi dari Lynas.

    PM juga telah berkali-kali menekankan manfaat yang dibawa Lynas kepada ekonomi dan keyakinan pelabur.

    Sementara itu, Presiden Gerakan Dominic Lau sebelum ini mempersoalkan jika pendirian Mahathir terhadap Lynas berpunca kerana dua anaknya mempunyai kepentingan dalam hal berkenaan..

    Lynas telah menafikan tuduhan ini.

    Putrajaya akan mengumumkan keputusan muktamad mengenai Lynas pada 15 Ogos ini.

    [Baca berita penuh]


    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih