malaysiakini logo
story-image
ADS

KES NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa pasukan penyiasat tahu lokasi suspek utama skandal 1MDB dan SRC International, iaitu ahli perniagaan Low Taek Jho yang menjadi buruan, Low tetapi penangkapannya tidak pernah menjadi kenyataan.

Memberi keterangan sebagai saksi ke-57 dalam perbicaraan kes rasuah SRC International yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain, berkata Biro Pusat Kebangsaan (NCB) Bukit Aman telah menulis kepada rakan sejawatannya di Hong Kong.

Beliau berkata demikian apabila mengesahkan satu e-mel dari NCB Bukit Aman kepada NCB Hong Kong NCB semasa ia ditunjukkan kepada dirinya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff semasa pemeriksaan utama terhadap saksi.

E-mel itu memohon pihak berkuasa Hong Kong untuk menangkap Low dan rakannya Eric Tan Kim Loong, yang dipercayai berada di Kelab Maggie & Rose Family Members di Teluk Repulse, Hong Kong.

Bagaimanapun, Rosli berkata pihak berkuasa Hong Kong tidak pernah menahan Low.

Keterangan Rosli juga memberikan gambaran tentang lokasi watak-watak utama lain sedang bersembunyi.

Selain Low dan Tan, watak lain adalah bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamal dan Kee Kok Thiam, yang dimaklumkan kepada mahkamah diletakkan oleh Low dan Nik Faisal untuk menyimpan wang tunai ke dalam akaun bank Najib.

Watak-watak lain termasuk Terence Geh Cho Heng, Jasmine Loo Ai Swan dan Casey Tang Keng Chee.

Rosli mengesahkan bahawa SPRM pada Jun tahun lalu meminta bantuan NCB Bukit Aman untuk menulis ke beberapa negara untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi watak-watak berkenaan.

Di antara negara-negara itu, NCB telah menulis kepada China, termasuk dua wilayah pentadbiran khasnya Macau dan Hongkong, Thailand, Indonesia, Myanmar dan India.

Rosli juga memberi keterangan bahawa Jabatan Imigresen, atas permintaan SPRM, telah membatalkan pasport Jho Low dan Nik Faisal, masing-masing pada 14 Jun dan 25 Julai tahun lepas.

Beliau juga mengakui ada mendengar mengenai spekulasi bahawa Low mempunyai pasport kedua dari Saint Kitts dan Nevis tetapi tidak dapat mengesahkan perkara itu.

"Pihak saya tidak menerima sebarang maklum balas sehingga kini," katanya.

Beliau berkata Low meninggalkan negara itu melalui lapangan terbang Subang pada 29 Mei 2015 manakala Nik Faisal pula menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Mei tahun lalu, dua hari sebelum pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Najib.

Rosli menambah kali terakhir SPRM mengesan Low adalah pada 27 Nov 2015 apabila suruhanjaya itu merakamkan kenyataannya di Abu Dhabi sementara kenyataan Nik Faisal direkodkan pada Oktober 2015, di Jakarta.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Dia dituduh menerima jumlah itu sebagai sogokan bagi meluluskan pinjaman berjumlah RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Najib menafikan sebarang salah laku atau menggunakan wang awam untuk kepentingan peribadi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan bersambung esok.

Lihat Komen