Pengiklanan

    Dong Jiao Zong jawab Dr M: Kami tak rasis

    (Dikemaskini )

    Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) menolak label “rasis” yang dilontarkan perdana menteri terhadap mereka.

    Sebaliknya, kata gabungan itu mereka bukan satu-satunya badan yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

    “Pandangan ini mewakili suara arus perdana dalam komuniti bukan Islam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

    "Malah, bukan semua orang Melayu bersetuju dengan langkah ini. Sebagai contoh, Tan Sri Rafidah Aziz telah menyatakan bahawa seni khat harus dijadikan mata pelajaran elektif dan bukan wajib.

    "Pengajaran seni khat ditolak lantaran kegagalan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan untuk mengambil pandangan masyarakat bukan Melayu – sama ada Dong Zong, Jiao Zong, Tamil Foundation ataupun MCCBCHST," kata gabungan itu dalam bahasa Melayu.

    Sambil melahirkan, rasa yang amat kesal terhadap tuduhan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, semalam yang melabelkan Dong Zong sebagai "rasis".

    "Kami menafikan dengan tegas label yang dilontarkan ke atas Dong Zong, kononnya Dong Zong yang menolak pengajaran seni khat adalah badan rasis yang menolak segala usaha kerajaan dalam pendidikan," katanya.

    Mahathir semalam berkata Dong Zong “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "islamisasi".

    Beliau turut mengungkit penentangan lama badan itu terhadap pengenalan Sekolah Wawasan yang mahu mengumpulkan sekolah Cina, Tamil, dan sekolah kebangsaan di satu tapak.

    Menteri Pendidikan Maszlee Malik dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini menafikan terdapat usaha islamisasi, tetapi mahu memperkenalkan pelajar kepada warisan tulisan lama dalam bahasa Malaysia.

    Dalam kenyataan hari ini, kira-kira 24 jam selepas kecaman Mahathir, Dong Jiao Zong berkata dakwaan terdapat usaha islamisasi adalah berasas.

    Dong Jiao Zong memetik kenyataan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz yang menyokong keputusan kerajaan demi “meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap tulisan Jawi dan Bahasa Arab, serta memudahkan mereka untuk mempelajari al-Quran serta memahaminya seterusnya beramal dengannya”.

    Dong Jiao Zong juga berkata, “motivasi agama” dalam peluasan tulisan Jawi jelas dapat dihayati dalam tulisan ilmiah seperti “Sumbangan Kaligrafi Arab dalam Kesenian Islam: Suatu Kajian Sejarah” oleh ahli akademik Dr Mohd Bakhir Abdullah.

    “Komuniti bukan Muslim memahami kecintaan komuniti Muslim terhadap tulisan Jawi dan seni khat yang berteraskan keimanan,” kata gabungan pertubuhan Cina itu.

    Dong Jiao Zong berhujah, untuk sesuatu tulisan diterima dan dipelajari oleh komuniti bukan Islam, ia mesti boleh mengungkap makna dan perbincangan di luar bidang Islam.

    Badan itu memberi contoh penggunaan bahasa Arab oleh bukan Islam seperti di Palestin, Lubnan, Syria dan Mesir untuk semua tujuan tanpa batasan termasuk agama Kristian.

    Dong Jiao Zong menyeru Maszlee membentuk badan perunding merangkumi semua komuniti bahasa dan agama agar kontroversi seperti ini tidak berulang.


    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih