Pengiklanan

    Tauke akhbar berbahasa Melayu saran Waytha dipecat

    (Dikemaskini )
    Berita

    Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Dr Hussamuddin Yaacub menyatakan kecewannya dengan prestasi menteri perpaduan P Waythamoorthy.

    “Jika saya jadi PM, menteri pertama yang saya pecat adalah menteri perpaduan negara, kerana gagal teruk merapatkan hubungan ras di Malaysia.

    “Makin pecah adalah!” tulis pemain media berpengaruh itu di Facebook beliau pagi tadi.

    Kumpulan Media Karangkraf menerbitkan akhbar popular bahasa Melayu, Sinar Harian dan pelbagai jenis majalah.

    Hussamuddin tidak menyebut kes khusus yang dirujuknya.

    Bagaimanapun, Waythamoothy sebelum ini dikecam pengkritik selepas beliau dilaporkan tidak bersetuju dengan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

    Setiausaha sulit kanannya, Alan Kirupakaran bagaimanapun berkata kenyataan itu tidak dihantar kepada Malaysiakini, menganggapnya palsu serta menuduh penyiaran berita itu berniat jahat.

    P Waythamoorthy

    Siaran akhbar dalam bahasa Tamil itu pada asalnya dihantar oleh seorang pembantu Waythamoorthy yang dikenali sebagai Nakkeeran melalui e-mel.

    Sementara itu, dalam status berasingan Hussamuddin berkata seorang menteri bila dilantik harus berfikir untuk kepentingan masa depan negara, “bukan lagi untuk ideologi parti, kaum dan agama sendiri saja”.

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Waythamoorthy berkaitan kritikan keras itu.

    Sementara itu, selepas laporan ini ditulis, Hussamuddin menyatakan rasa tidak selesanya melalui status yang lain.

    “Apa motif Malaysiakini beri tajuk sebegitu kepada sebuah posting kecil di FB peribadi saya? Perlukah letak kaum? Jangan cuba lagakan!” tulisnya.

    Beliau juga menegaskan bercakap sebagai seorang rakyat Malaysia yang inginkan keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia.

    “Kena ada tolak ansur, kena ada pengorbanan dan kena ikhlas,” tulisnya lagi.

     

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih