malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Segala kita bina akan musnah jika tak berhati-hati - Syed Hamid
Diterbitkan:  Aug 13, 2019 12:14 PM
Dikemaskini: 4:15 AM
ADS

Bekas Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar melahirkan kebimbangan terhadap sikap tidak bertoleransi yang mulai ditunjukkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Malaysia sedang melalui fasa yang sukar dan bahaya. Berlaku lebih polarisasi dan sikap tidak bertolak ansur antara satu sama lain.

"Saya bimbang cara kita menggunakan bahasa yang berasaskan kaum, agama dan budaya kebangsaan.

"Semua yang kita telah dibina akan musnah jika kita tidak berhati-hati," katanya di laman Twitternya.

Kenyataan Syed Hamid itu dibuat ketika timbul beberapa dasar kontroversi yang menjadi isu perkauman dan agama.

Antaranya usaha Kementerian Pendidikan memperkenalkan pembelajaran tulisan khat Jawi bagi murid-murid Tahun 4 termasuk di sekolah vernakular.

Langkah itu disifatkan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai proses Islamisasi, manakala parti-parti politik bukan Melayu turut menentang cadangan tersebut.

Berikutan itu kabinet memutuskan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Bagaimanapun Dong Zong tetap melancarkan pestisyen bagi mengumpulkan tandatangan untuk membantah cadangan itu.

Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggelar Dong Zong sebagai sebuah pertubuhan rasis dan tidak menyukai orang Melayu.

Susulan itu Pemuda Bersatu pula melancarkan petisyen bagi mengumpulkan sokongan untuk mendesak Dong Zong diharamkan.

Sempena Hari Raya Aidiladha, Syed Hamid juga menggesa rakyat Malaysia untuk menghayati erti pengorbanan.

"Jangan tengok kepada kelemahan orang atau kaum lain. Tengok pada diri dan kaum sendiri. 

"Jangan menghina orang atau kaum lain. Islam diasaskan kepada kepelbagaian," katanya.

Lihat Komen