malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan tolak tangguh bicara 1MDB
ADS

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang dijadualkan bermula pada Isnin, 19 Ogos ini.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan itu tidak terkhilaf dalam pelaksanaan budi bicaranya.

“Kami bersetuju bahawa tidak ada kesilapan dalam mengamalkan undang-undang. Oleh itu, tidak ada sebab kami untuk bercampur tangan,” katanya.

Turut bersidang ialah Azahar Mohamed; David Wong Dak Wah; Rohana Yusof dan Idrus Harun.

Panel hakim itu turut memberitahu pihak pembelaan dan pendakwaan bahawa mereka perlu membawa keputusan itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada 19 Ogos, mengenai sama ada mereka mahu meneruskan kes itu pada Isnin nanti.

"Kami serahkan kepada pihak-pihak untuk membuat permohonan yang diperlukan di hadapan Mahkamah Tinggi pada hari Isnin.

“Rayuan oleh pihak pendakwaan telah dibatalkan dan rayuan oleh pihak pembela ditolak," kata Tengku Maimun.

Peguam Negara Tommy Thomas sebelum itu, memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya untuk mendapatkan penangguhan pada hari Isnin untuk perbicaraan 1MDB untuk dimulakan.

Thomas turut menambah bahawa beliau yakin perbicaraan kes SRC akan tamat pada Jumaat ini.

Terdahulu, Tengku Maimun membaca keputusan tanpa kehadiran Najib walaupun selepas mahkamah berehat selama 20 minit.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memohon maaf kepada mahkamah atas tidak kehadiran Najib, dan Tengku Maimun membalas “tak apa”.

Dengan keputuan Mahkamah Persekutuan hari, pihak pendakwa dan pembelaan akan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin ini.

Walau bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada hakim Collin akan membuat keputusan untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB ke tarikh lain bagi memberi ruang kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes SRC International yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Shafee berkata, pihaknya terkejut dengan keputusan pihak pendakwa yang menarik balik cabaran terhadap permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB.

"Saya terkejut dengan keputusan pihak pendakwa. Saya beritahu mahkamah tinggi bahawa kami bersetuju untuk memulakan perbicaraan pada Oktober.

"Klien saya (Najib Razak) hanya mempunyai satu pasukan pembela. Walaupun, kes SRC kemungkinan tamat pada Jumaat ini tidak bermakna kami tidak sibuk untuk bersedia kes 1MDB pada Isnin," katanya.

Tambahnya, Najib perlu diberi masa yang secukupnya dan hak perbicaraan yang adil untuk bersedia dalam kes 1MDB.

Sehubungan itu, perbicaraan kes 1MDB yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’ akan bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos ini dan kemudian bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November ini.

Sebelum ini pihak pendakwaan gagal sebanyak tiga kali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan kes tersebut.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.

Lihat Komen