malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pembantu Waytha dakwa 'laporan M'kini palsu', tetapi berikut kenyataan penuh
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoothy menafikan menghantar kepada Malaysiakini kenyataan media di mana dia dilaporkan tidak bersetuju dengan pengajaran tulisan khat di sekolah Tamil.

Dalam satu e-mel yang dialamatkan kepada Malaysiakini, Setiausaha Sulit Kanan, Alan Kirupakaran menafikan petikan berkenaan dibuat oleh menteri tersebut dalam laporan itu.

"Kami anggap laporan kamu palsu dan berniat jahat," katanya.

"Menteri Waythamoorthy tidak memberikan sebarang kenyataan seperti didakwa oleh Malaysiakini. Menteri juga tidak bercakap dengan Malaysiakini atau wartawannya.

Beliau turut meminta Malaysiakini untuk meminta maaf secara terbuka serta menurukan artikel bahasa Inggeris yang bertajuk 'Waytha disagrees with khat lessons in Tamil schools'.

"Sekiranya, gagal berbuat demikian dalam masa 24 jam, menteri berhak untuk mengambil apa-apa tindakan undang-undang yang ada," katanya.

Bertentangan dengan dakwaan Alan itu, siaran akhbar menteri itu oleh seorang pembantunya yang dihantar menerusi e-mel kepada Malaysiakini pada jam 4.42 petang semalam.

E-mel, bertajuk "Siaran Akhbar oleh YB Pon Waytha Moorthy" dan ditulis dalam bahasa Tamil, dihantar oleh seseorang yang dikenali sebagai Nakkeeran.

Dia berkhidmat di pejabat Waythamoorthy dan mengendalikan urusan komunikasi menteri dengan akhbar berbahasa Tamil, dan menghantar kenyataan akhbar ke media lain, seperti Malaysiakini.

Dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Ogos, yang kebanyakannya dihantar ke akbar berbahasa berita Tamil, menteri itu menyatakan dia tidak bersetuju dengan pengenalan khat di sekolah vernakular.

Adalah dinyatakan bahawa komen oleh Waythamoorthy, yang juga adalah presiden Malaysian Advancement Party (MAP) yang baru dilancarkan, dibuat dalam satu wawancara dengan program berita Bernama Tamil.

Malaysiakini telah menyemak kenyataan menteri itu dengan wawancara yang diterbitkan di Facebook semalam dan mendapati bahawa ia adalah sama.

E-mel asal oleh Nakkeeran diterbitkan semula di bawah.

E-mel penuh telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu di sini:

Tidak setuju dengan pengenalan khat tulisan Jawi

Menteri P Waythamoorthy

Kuala Lumpur, 11 Ogos

Menteri Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata beliau tidak setuju dengan pengenalan tulisan khat/Jawi di sekolah vernakular.

(Katanya) kebanyakan anggota kabinet tidak setuju dengan langkah tersebut. Lagipun, mereka tidak mempunyai waktu mencukupi untuk membincangkan isu ini kerana pengumuman dibuat secara tiba-tiba.

"Ada banyak perkara kami boleh ajar murid-murid di era baru ini. Terdapat pelbagai perkara untuk pelajar mengetahuinya.

"Justeru itu, bagi saya pengenalan (pelajaran) tulisan khat (Jawi) kepada murid di sekolah Tamil adalah tidak perlu," kata Waythamoorthy dalam wawancara bersama Bernama bahagian Tamil.

"Kebanyakan pelajar Malaysia hari ini berpendidikan tinggi dan mempunyai ijazah. Pada masa sama, kami berhadapan dengan isu pengangguran.

"Mengajar mereka pengekodan (komputer) akan membantu mereka bagaimana untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dalam kehidupan seharian," kata Waythamoorthy, yang juga Presiden MAP.

"Pengajaran khat (Jawi) di sekolah Tamil tidak realistik. Pada masa ini terdapat banyak rungutan bahawa sistem pendidikan membebankan pelajar.

"Sepatutnya, kerajaan perlu berfikir bagaimana untuk mengurangkan beban murid kita, memastikan pembaharuan dalam sistem pendidikan supaya pelajar selesa dengan sistem (persekolahan), kata Waythamoorthy.

Nakkeeran

 

 

Lihat Komen