malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri perpaduan tak setuju perkenal tulisan Jawi di SJKT
Diterbitkan:  Aug 11, 2019 8:07 PM
Dikemaskini: Aug 12, 2019 4:31 AM
ADS

Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waythamoorthy menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 di sekolah vernakular.

"Di alam baru ini terdapat banyak perkara untuk diajar kepada pelajar.

"Jadi, bagi saya memperkenalkan tulisan Jawi di Sekolah Tamil merupakan satu perkara yang tidak perlu," katanya dalam satu wawancara bersama Bernama.

Waythamoorthy yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) turut mendakwa bahawa ramai anggota kabinet tidak bersetuju dengan rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu.

"Saya tidak dapat memberikan ulasan dengan segera, kerana keputusan KPM diumumkan secara tiba-tiba," katanya.

Selain itu, menurutnya, ramai anak Malaysia masih menganggur walaupun memiliki ijazah.

"Mereka ini perlu diserapkan pembelajaran coding atau pengekodan. Ini akan membantu anak kita untuk meningkatkan kesedaran mengenai perniagaan secara dalam talian yang berkait kehidupan harian kita," katanya.

Beliau sebaliknya mencadangkan agar tulisan Jawi diajar sebagai subjek pilihan bergantung kepada kehendak murid.

"Pembelajaran tulisan Jawi tidak realistik di sekolah Tamil.

"Pada ketika ini, terdapat banyak aduan di mana para pelajar berpendapat bahawa sistem pendidikan sebagai beban. Sepatutnya, kerajaan perlu berfikir bagaimana untuk mengurangkan beban murid kita, pada masa sama memastikan pembaharuan dalam sistem pendidikan agar pelajar kita selesa dengan sistem persekolahan," tambahnya.

Sementara itu, beberapa NGO mewakili masyrakat Tamil di Malaysia bercadang mengadakan perhimpunan aman membantah rancangan kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di semua sekolah termasuk Sekolah Tamil dan Cina pada tahun 2020.

Perhimpunan itu dikatakan bakal dianjurkan oleh Malaysian Tamilar Kural (Suara Masyarakat Tamil Malaysia) pada 23 Ogos ini bermula 7 malam di Brickfields.

Bertema 'Puratchi' (revolusi) perhimpunan itu dikatakan bertujuan menggesa kerajaan menarik balik keputusan memperkenalkan tulisan Jawi yang direncana bermula tahun depan.

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada 25 Jul lalu menjelaskan pengenalan tulisan Jawi dan seni khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Langkah kerajaan itu mendapat kritikan beberapa pihak yang menyatakan kebimbangan ia akan membebankan murid.

Susulan itu, kabinet kemudian menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata guru juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Lihat Komen