malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suami isteri direman 7 hari kes maut akibat gaduh di lebuh raya
Diterbitkan:  Aug 11, 2019 12:40 PM
Dikemaskini: 5:12 AM
ADS

Pasangan suami isteri yang ditahan berhubung kes kematian seorang lelaki di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban semalam telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.

Fadzil dalam kenyataan media berkata, permohonan reman dibuat di Mahkamah Kajang dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan bunuh.

Beliau berkata, motif kejadian adalah berpunca daripada isu kemalangan jalan raya dan tiada kena mengena dengan isu perkauman seperti yang ditularkan.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati kereta si mati telah melanggar bahagian belakang kereta suspek yang kemudiannya menyebabkan insiden "kejar mengejar dan cabar mencabar".

"Mereka berdua berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi. Seterusnya berlaku pergaduhan antara suspek dan si mati. Beberapa pemandu lain turut berhenti dan telah mententeramkan kedua-dua mereka. Akhirnya masing-masing kembali ke kereta.

"Namun si mati yang tidak berpuas hati telah keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu baseball dan terus memukul bahagian depan kereta suspek. Suspek telah memandu kereta ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar si mati.

"Mangsa telah tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan. Dia dibawa ke Nilai Medical Centre dan telah meninggal dunia semasa dirawat," katanya lagi.

Menurut laporan Bernama awal pagi tadi, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 tengah hari semalam di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Menurut laporan itu lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat dengan menelefon 016-406 4202, atau hubungi balai polis berhampiran.

Lihat Komen