malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelarian etnik Chin mahu bakar semangat komunitinya
ADS

Pengumuman Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) pada tahun lalu untuk menamatkan perlindungan antarabangsa kepada pelarian etnik Chin Myanmar mencetuskan kebimbangan antarabangsa, termasuk komuniti etnik itu yang tinggal di Malaysia.

Dengan niat memberdaya masyarakatnya, penyelaras Alliance of Chin Refugees (ACR) James Bawi Thang Bik memutuskan untuk menulis buku mengisahkan perjuangannya, bertajuk Rising Up - The Fight for Chin Refugees.

"Saya memulakan buku ini tahun lalu dan ia mengambil masa kira-kira enam bulan," katanya ketika ditemui Malaysiakini di acara pelancaran buku itu di Petaling Jaya hari ini.

Dia berkata, perancangan awalnya hanyalah untuk memberi maklum balas kepada pengumuman UNHRC pada Jun 2018 dengan membangkitkan dasar yang memberi kesan kepada etnik Chin - etnik minoriti beragama Kristian - yang tinggal di Chin di barat Myanmar.

"Cabaran terbesar buat saya adalah masa silam saya begitu menyakitkan... Saya tak mahu menulisnya.

"Saya menangis ketika duduk di depan komputer. Saya tidak mahu mengenang memori itu," katanya.

Dia bagaimanapun menjadi bersemangat ketika masuk proses semakan yang antara lain bertujuan untuk memberikan sedikit sentuhan peribadi pada buku itu.

James berkongsi kisahnya dengan ribuan pelarian China di seluruh dunia, antaranya yang tiba di Malaysia pada 2010, untuk lari daripada penindasan kerajaan Myanmar.

Pada Januari 2012, Chin National Front - sebuah parti politik yang memperjuangkan hak etnik itu - dilaporkan menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan kerajaan persekutuan Myanmar yang baru yang dipimpin Presiden Thein Sein.

Selepas sekian lama berjuang untuk komunitinya, James berkata dia berharap bukunya akan memberi inspirasi kepada golongan muda etnik Chin untuk merealisasikan potensi diri mereka walau dengan hidup yang mencabar.

"Saya hanya seorang pelarian tetapi masih boleh menulis buku. Saya seorang pelarian tetapi tak pernah putus asa.

"Saya harap buku ini dapat memberi semangat kepada golongan muda untuk terus bangkit," katanya lagi.

Turut hadir di pelancaran buku itu ialah pelajar etnik Chin serta pemimpinn komuniti lain yang berada dalam negara.

Dilaporkan kira-kira 15,000 pelarian etnik itu ada di Malaysia, satu peratusan besar daripada anggaran 18,000 pelarian Chin yang berdaftar dengan UNHCR.

Pengumuman PBB berkenaan penamatan pelindungan pelarian untuk etnik Chin pada mulanya dibaut berdasarkan "perkembangan positif di Chin State selepas bertahun-tahun pergolakan dalaman.

Bagaimanapun pada Mac lalu, PBB membuat pengumuman bahawa etnik itu masih memerlukan perlindungan antarabangsa susulan "beberapa penilaian dan laporan baru yang tidak menyokong kesimpulan asal berkenaan perubahan di Chin State dan Wilayah Sagaing".

Lihat Komen