Pengiklanan

    Vellfire tanda kasih sayang buat Hadi hilang

    (Dikemaskini )

    Bendahari Dewan Ulama PAS Muhammad Ismi Mat Taib mengesahkan kereta Toyota Vellfire miliknya yang sering digunakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang hilang minggu lalu.

    Muhammad Ismi berkata, beliau membenarkan Abdul Hadi menggunakan kereta itu atas dasar kasih sayangnya kepada pemimpin nombor satu PAS itu.

    “Saya bagi tanda kasih sayang saya pada tok guru, saya bagi khidmat dengan kereta saya, itu sahaja.

    “Saya (juga) setiausaha khas tok guru (Abdul Hadi) jadi saya saja bagi dia pakai, tak ada tujuan lain, sekadar berkhidmat kepada tok guru, tak harapkan apa-apa pulangan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Menurut Ismi, kenderaan itu hilang di kediaman Abdul Hadi di Damansara Isnin lalu dan laporan polis turut dibuat pada hari sama.

    Sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas dan perkembangan lanjut daripada polis berhubung kehilangan kereta berkenaan.

    Semalam seorang pengguna Facebook Miqdad Zakaria yang juga anak saudara Abdul Hadi memuat naik hantaran berkaitan kehilangan kereta tersebut.

    Menurut Miqdad, setelah diperiksa pemilik kereta tersebut, ia adalah milik Muhammad Ismi yang juga Setiusaha Khas Abdul Hadi.

    Kereta yang menggunakan nombor pendaftaran RX8409 itu dikatakan turut memaparkan logo rasmi ahli parlimen.

    Mengulas perkara itu, Muhammad Ismi mengakui, logo rasmi itu memang pernah diletakkan pada kenderaan tersebut namun ia telah ditanggalkan beberapa bulan lalu sehingga kereta tersebut hilang.

    “Memang itu kereta saya, kadang kala saya bagi tok guru pakai. Sebelum ini ada crown (logo rasmi ahli parlimen) tapi sudah ditanggalkan… crown itu kini dipasang pada kenderaan lain,” katanya.

    Pada 1 Julai lalu, Dewan Negara meluluskan usul semua anggota parlimen dan anggota pentadbiran wajib mengisytiharkan harta masing-masing.

    Bagaimanapun, seorang pengguna media sosial berkata, tindakan Abdul Hadi yang menggunakan kenderaan mewah milik orang lain menyebabkan beliau tidak perlu mengisytiharkan hartanya.

    Mengulas perkara itu, Muhammad Ismi berkata enggan mengulas lanjut kerana kereta tersebut bukan milik Abdul Hadi.

    “Saya rasa tak perlu komen, biarlah orang nak cakap, cakap lah. Tapi memang bukan kereta tok guru, tapi kereta saya,” katanya.

    Beliau juga meminta perkara itu tidak diperbesarkan.

    “Saya ingat benda ni tak perlu diperbesarkan sebab kalau kita heboh jadi masalah, sebab kereta saya kan. Saya report polis dan saya claim (tuntut) insuran,” katanya.

     

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih