BERITA

Yayasan Tamil minta KPM tangguh walau Jawi kini jadi pilihan

B Nantha Kumar

10 8月 2019, 8:20 早上

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Sebuah NGO India, Yayasan Tamil meminta Kementerian Pendidikan menangguhkan keputusan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan walaupun pembelajarannya kini ditetapkan secara pilihan.

Presidennya, C Thiraviyam berkata, kementerian perlu mengadakan perbincangan semula dengan pihak pemegang kepentingan supaya mendapatkan penyelesaian konkrit.

Tambah beliau, keputusan untuk menjadikan pembelajaran Jawi sebagai pilihan masih tidak menyelesaikan isu dibangkitkan.

"Memberi pilihan akan mengelirukan keadaan di mana akan ada pihak sokong dan sebaliknya.

"Jadi, kami minta KPM untuk tangguhkan pembelajaran Jawi dan bincang semula," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya, hari ini.

Yayasan Tamil merupakan antara 12 NGO dalam Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) yang menghadiri perbincangan pada 6 Ogos bersama Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Teo dalam sidang media pada hari yang sama menyatakan KPM dan GBM mencapai konsensus bahawa hanya pengenalan seni tulisan khat akan diperkenalkan di sekolah rendah pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, Yayasan Tamil menafikan bersetuju pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks (Bahasa Malaysia) tahun empat di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

KPM pada 25 Julai menjelaskan pengenalan seni khat itu adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah dan tidak berkaitan dengan tulisan Jawi, malah pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan. 

Bagaimanapun langkah itu mendapat kritikan beberapa pihak terutama badan pendidikan bukan Melayu.

Pada 8 Ogos, kabinet menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata guru juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen