Pengiklanan

    DUN S'gor patut bahas RUU tukar agama sepihak - Haniff

    (Dikemaskini )

    DUN Selangor sepatutnya membahaskan usul RUU tukar agama sepihak melibatkan seseorang di bawah umur 18 tahun di negeri itu, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

    Katanya, berdasarkan prinsip pengasingan kuasa, badan penggubal undang-undang (parlimen dan DUN) tidak boleh disekat daripada membentangkan sebarang pindaan hanya kerana terdapatnya keputusan mahkamah berhubung hal berkenaan sebelum ini.

    Jelasnya, sama ada pindaan itu merupakan satu ultra vires (di luar bidang kuasanya) atau tidak biarlah ditentukan di mahkamah di kemudian hari, sekiranya terdapat pihak yang mencabarnya secara undang-undang setelah RUU itu diluluskan kelak.

    Hal ini, kata Haniff, memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan bukanlah mutlak ketetapannya (cast in stone) dan tidak boleh berubah jika hal tersebut dibangkitkan lagi di mahkamah.

    Menurut Haniff, hal yang sama juga melibatkan sebarang pindaan undang-undang atau perlembagaan apabila badan kehakiman diperlukan untuk menilai semula pendiriannya.

    “Jadi apa salahnya membenarkan RUU itu didebatkan? Kalau speaker tu benar-benar mengawal pembentangan RUU, itu perkara yang sangat salah, baik dari segi moral atau perundangan.

    “Ia akan kembalikan kita ke belakang, pada pendirian sama yang kita tuduh terhadap kerajaan terdahulu,” katanya kepada Malaysiakini.

    Pendirian yang disebutnya itu dipercayai merujuk ketika perihal 1MDB dihalang daripada dibincangkan di Dewan Rakyat sewaktu pentadbiran BN dahulu.

    Pada Rabu, Malaysiakini melaporkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari merancang untuk membentangkan RUU bagi membenarkan seseorang berusia bawah 18 tahun memeluk Islam dengan mendapat kebenaran sepihak, di DUN Selangor yang selesai bersidang 31 Julai.

    Dia merancang berbuat demikian biarpun berdepan bantahan daripada majoriti Adun PH, termasuk daripada kabinetnya sendiri.

    Bagaimanapun, rancangan itu tidak kesampaian selepas Yang Dipertua DUN Selangor Ng Suee Lim enggan menandatangani dokumen bagi membenarkan RUU itu dibentangkan.

    Susulan laporan tersebut, Amirudin dan Ng saling mengeluarkan kenyataan menjelaskan kenapa RUU itu tidak dibentangkan.

    Sekarang, enakmen Selangor menyatakan sesiapa yang berusia di bawah 18 tahun mesti mendapatkan persetujuan daripada “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam. Pindaan itu mahu mengubahnya kepada “ibu atau bapa”.

    Versi Bahasa Malaysia Perlembagaan Persekutuan pula menyebut “ibu atau bapa” dalam hal itu.

    Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan tahun lalu membuat satu keputusan penting bahawa perlembagaan tidak harus ditafsirkan secara literal dan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk pertukaran agama anaknya yang di bawah umur.

    Keputusan mahkamah tertinggi itu dibuat dalam kes pertukaran agama secara sebelah pihak melibatkan anak M Indira Gandhi dan bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah.

    Beberapa peguam berpendapat keputusan kes tersebut akan menjadikan pindaan yang cuba dilakukan itu tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

    Bagaimanapun, Haniff tidak bersetuju dengan kenyataan peguam berkenaan.

    “Apa akan terjadi ialah jabatan agama akan menguatkuasakan undang-undang baru, kerana (pindaan) enakmen itu hadir selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

    “Sesiapa yang terkesan dengan perubahan ini bolehlah membawanya ke mahkamah. Ia boleh dicabar dan sepatutnya dicabar di mahkamah,” katanya.

    Katanya lagi, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi tidak berapa jelas dalam beberapa perkara, terutamanya ia tidak menyentuh sama ada hal pertukaran agama berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

    “Sebab itulah saya kata, DUN negeri sepatutnya membenarkan pembentangan RUU itu.

    “Kalau RUU tu tak diluluskan, habis cerita. Kalau ia lulus, jadi sesiapa yang tak suka boleh bawanya ke mahkamah,” jelasnya.

    [Baca berita asal]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih