malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gaji lambat: Pekerja Utusan akan piket 19 Ogos ini
Diterbitkan:  Aug 9, 2019 9:31 AM
Dikemaskini: 3:25 AM
ADS

Selepas berulang kali bayaran gaji tertangguh, pekerja Utusan Melayu Bhd merancang mengadakan piket pada 19 Ogos ini.

The Malaysian Insight (TMI) melaporkan penangguhan bayaran gaji kali ini telah memberi kesan kepada 800 anggota Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

Laporan itu memetik sumber berkata gaji kakitangan eksekutif juga turut tertangguh selama dua bulan dengan mendapat sebahagian bayaran kali terakhir pada Jun sebanyak RM2,000.

"Kami merancang mengadakan piket pada 19 Ogos ini. Sebab utama ialah pelanggaran tatacara perjanjian bersama iaitu lewat membayar gaji.

"Kami beri tempoh kepada Utusan sampai 19 Ogos. Kita sudahpun beri surat kepada pihak majikan untuk memaklumkan tujuan kami piket.

“Dalam tempoh itu, pihak pengurusan perlu selesaikan masalah yang kami hadapi,” katanya.

Pada tahun lalu, pekerja Utusan Melayu turut mengancam untuk melancarkan piket tetapi rancangan itu tidak diteruskan setelah pihak majikan mengemukakan jalan penyelesaiannya.

“Tahun lepas rancang untuk piket tapi tak jadi selepas pengurusan jumpa kita dan bagi (jalan) penyelesaian," kata sumber lagi, lapor TMI.

Dalam memorandum bertarikh hari ini 31 Julai 2019 yang dilihat Malaysiakini, Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Utusan, Mohd Nazlan Osman menjelaskan penangguhan pembayaran gaji itu disebabkan masalah aliran tunai syarikat yang kritikal.

“Syarikat sedang berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan bayaran-bayaran ini dengan kadar segera. Sebahagian bayaran ini dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada 6 Ogos 2019,” katanya seperti dipetik dalam memorandum itu.

Syarikat Utusan Melayu semakin bergelut dengan masalah kewangan ekoran kekalahan Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei lalu, yang menyebabkan penangguhan pembayaran gaji kakitangannya beberapa kali.

Antara langkah yang telah diambil syarikat itu ialah menjual hartanahnya, menawarkan skim pemberhentian kerja sukarela (VSS) kepada lebih separuh daripada kakitangannya, menutup biro-biro dan membawa masuk pelabur luar untuk membantu syarikat melangsaikan hutangnya.

Ini selepas syarikat itu diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan (PN17) pada Ogos 2018 dan berisiko dinyah senarai daripada Bursa Malaysia disebabkan kekangan kewangan.

Lihat Komen