malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Usul pinda enakmen Islam mungkin cuba dibentang lagi
ADS

Cadangan meminda enakmen Islam Selangor yang membenarkan seseorang yang berusia bawah 18 tahun memeluk Islam dengan mendapat kebenaran sepihak mungkin tetap dibentangkan di DUN Selangor selepas ini.

"Kalau ada kepentingan, kita akan bawa," kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Amirudin berkata ketika ini memang ada pertikaian untuk tafsiran mengenai kebenaran yang diperlukan oleh seseorang remaja memeluk Islam.

Katanya ketika ini hanya Selangor, Pulau Pinang dan Sabah yang tidak sekata dengan pentafsiran dibuat mengenai isu tersebut, selain ada kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Tapi itu hanya dari pandangan satu pihak. Ada beberapa pandangan yang lain juga," katanya kepada media di Shah Alam malam tadi.

Sebelum itu Amirudin menghadiri majlis makan malam tertutup membabitkan anggota PKR Selangor bersama timbalan presiden mereka, Azmin Ali, yang juga menteri hal ehwal ekonomi.

Ketika ini Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor menyatakan seseorang yang berusia kurang daripada 18 tahun mesti mendapatkan kebenaran "ibu dan bapa" sebelum boleh memeluk Islam.

Pindaan yang dicadangkan - dan setakat ini ditangguhkan - pula menyatakan kebenaran itu mestilah diberikan oleh "ibu atau bapa" kepada remaja terbabit.

DAP secara jelas membantah cadangan pindaan tersebut.

Kata Amirudin, hujah yang membantah pindaan itu memang membawa aspek perundangan dan menyentuh banyak aspek.

Beliau juga mengesahkan cadangan pindaan itu dikemukakan oleh Majlis Agama Islam Selangor sebelum dibawa kepada exco negeri.

"Ada berlaku perbincangan dan sebagainya, jadi perkara ini melibatkan hal yang panjang dan memang kita bawa kepada perbincangan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen